Tuesday, October 26, 2021

Malaysia catat kadar kesuburan paling rendah sejak 70-an

Bilangan kelahiran hidup turut terkesan apabila mencatatkan jumlah yang paling rendah dalam tempoh sedekad.

Other News

Kadar kesuburan rakyat Malaysia menurun ke tahap terendah sejak beberapa dekad lalu sepanjang pandemik Covid-19, menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin berkata kadar kesuburan jumlah (TFR) bagi wanita umur reproduktif mencatatkan penurunan dengan 1.7 anak pada 2020 berbanding 2019.

“Kadar kesuburan pada tahun 2020 merupakan yang terendah sejak empat dekad yang lalu dengan 4.9 anak bagi setiap wanita pada tahun 1970. Kadar kesuburan Malaysia berada di bawah paras penggantian 2.1 anak mulai tahun 2013,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Paras penggantian 2.1 merujuk kepada purata bilangan anak yang perlu dilahirkan oleh seorang wanita dengan menanggung seorang anak perempuan yang hidup sehingga anak tersebut melahirkan anak.

Kesemua etnik mencatatkan penurunan TFR bagi tempoh 2010 hingga 2020. TFR kaum Bumiputera turun kepada 2.2 anak daripada 2.6, manakala etnik Cina (1.5 anak kepada 1.0 anak) dan etnik India (1.7 anak kepada 1.2 anak).

Katanya trend kesuburan menurun itu juga selari dengan negara maju lain seperti Australia, United Kingdom, New Zealand dan Jepun, antara lain.

“Kadar kesuburan memang semakin menurun sebelum Covid-19. Ada kemungkinan Covid juga memberi kesan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dalam pada itu, sebanyak 240,590 kelahiran hidup direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, menjadikannya yang terendah dalam tempoh sedekad.

“Bilangan kelahiran hidup yang dicatatkan pada 2020 adalah 470,195 iaitu menurun 3.6 peratus berbanding 487,957 pada 2019.

“Penurunan bilangan kelahiran ini telah mengakibatkan Kadar Kelahiran Kasar (CBR) menurun daripada 15.0 kelahiran pada 2019 kepada 14.4 bagi setiap seribu penduduk pada 2020,” katanya.

Kesemua negeri mencatatkan penurunan bilangan kelahiran hidup pada 2020 kecuali Terengganu, Perlis dan Labuan. Terengganu mencatatkan kadar kelahiran tertinggi dengan 21.6 kelahiran bagi seribu penduduk, manakala Pulau Pinang mencatatkan kadar kelahiran paling rendah dengan 11.1 kelahiran.

Trend penurunan bilangan kelahiran itu disumbangkan peningkatan taraf pendidikan wanita dan penglibatan wanita dalam tenaga buruh.

“Purata umur ibu pada kelahiran hidup pertama meningkat 0.1 tahun daripada 27.9 tahun (2019) kepada 28.0 tahun pada 2020. Secara amnya, peningkatan purata umur ibu pada kelahiran pertama memberi indikasi terhadap tempoh reproduktif wanita yang semakin singkat,” katanya.

Faktor lain termasuklah evolusi pembandaran, perubahan gaya hidup, status ekonomi dan peningkatan penggunaan kaedah perancang keluarga.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles