- Iklan -
Berita

Malaysia akan melabur dalam perkhidmatan digitalisasi kesihatan mental

Digitalisasi perkhidmatan itu adalah bagi memastikan penjagaan kesihatan mental sentiasa ada dan boleh diakses.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Malaysia akan melakukan lebih banyak pelaburan dalam usaha mempertingkat perkhidmatan digitalisasi kesihatan mental dengan penggunaan teknologi untuk memperluas jangkauannya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata untuk memastikan penjagaan kesihatan mental sentiasa ada dan boleh diakses, kaedah baru penyampaian perkhidmatan dalam bidang itu perlu dibangunkan.

“Selain bantuan ekonomi, rakyat perlu diberikan sokongan kesihatan mental yang secukupnya semasa pandemik,” katanya dalam rakaman ucaptama sempena pelancaran Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) “The State of World’s Children 2021; On My Mind: Promoting, Protecting and Caring for Children’s Mental Health” yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Unicef Malaysia dan Bernama TV hari ini.

Beliau berkata dari bulan Januari hingga Julai tahun ini, data Polis Diraja Malaysia menunjukkan bahawa terdapat 638 insiden bunuh diri berbanding 262 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Lebih membimbangkan ialah peningkatan berganda kematian akibat bunuh diri dalam kalangan remaja berumur lingkungan 15 hingga 18 tahun dari 2019 hingga 2020,” katanya.

Khairy juga berkata kesedaran mengenai kesihatan mental bermula dari rumah dengan ibu bapa dan penjaga memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang selamat serta menyokong untuk anak mereka.

Beliau berkata keluarga perlu mengetahui bahawa mereka tidak sendirian dan di peringkat tempatan, kesedaran mengenai kesihatan mental serta advokasi perlu diterjemah ke dalam bentuk tindakan segera, memperkasa komuniti dengan sokongan psikososial dan aktiviti kemasyarakatan.

Katanya pemimpin komuniti boleh dilatih untuk memberi bantuan dan merujuk kes kepada agensi yang relevan untuk mendapatkan sokongan profesional.

Khairy juga berkata kementerian kesihatan (KKM) menyokong usaha memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menganggap percubaan membunuh diri sebagai satu jenayah.

“Penyahjenayahan bunuh diri akan mengurangkan stigma dan menggalakkan golongan yang terjejas untuk tampil mendapatkan pertolongan bagi menangani isu kesihatan mental mereka. Saya harap langkah menyahjenayahkan bunuh diri akan segera menjadi realiti,” katanya.

Beliau berkata KKM serta kementerian belia dan sukan telah melakukan pelbagai usaha bagi menangani isu kesihatan mental yang meliputi program kaunseling, kempen kesedaran kesihatan mental serta sesi libat urus masyarakat.

Katanya pertubuhan bukan kerajaan dan organisasi masyarakat sivil turut berperanan menyebarkan kesedaran berhubung kepentingan kesihatan mental yang mempromosi pendekatan seluruh masyarakat.