Monday, November 29, 2021

Karier Zahid bakal berakhir jika Umno gagal di PRN Melaka?

Penganalisis berkata kedudukannya sebagai presiden Umno mungkin tergugat jika parti itu gagal memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka.

Other News

Kedudukan Ahmad Zahid Hamidi akan tergugat dalam Umno dan berkemungkinan akan digulingkan sebagai presiden sekiranya parti Melayu itu gagal memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata penganalisis.

Mereka berkata pertembungan “dua kem” Umno di Melaka sehingga menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan baru-baru ini memperlihatkan kelemahan Zahid sebagai presiden parti.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata PRN Melaka juga akan memberikan impak langsung kepada kepimpinan Zahid dan pemilihan Umno akan didesak untuk disegerakan.

“Sekiranya Umno gagal memenangi PRN Melaka kali ini, ternyata ianya memberikan tekanan kepada beliau untuk kekal sebagai Presiden Umno bila mana diadakan pemilihan kelak,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Mungkinkah ada desakan-desakan untuk beliau berundur?”

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Empat Adun tersebut ialah Adun Sungai Udang Idris Haron, Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Peristiwa itu menyaksikan tampuk kepimpinan negeri bertukar kali kedua dalam tempoh sepenggal selepas kerajaan Melaka pimpinan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020.

Pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia, Ahmad Marthada Mohamed berkata, pendirian Zahid yang berubah-ubah berhubung krisis tersebut mencalarkan reputasi beliau.

“Beliau yang menyatakan perlunya ada PRN, beliau juga yang nyatakan darurat perlu dilaksanakan untuk elakkan PRN,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kedua, konflik dalaman Umno tercetus kerana kelemahan kepimpinan terutama kepimpinan tertinggi.”

Perpecahan parti Melayu untungkan PH?

Marthada berkata, PH berkemungkinan untuk memenangi semula Melaka sekiranya Umno dan Perikatan Nasional (PN) bertanding secara berasingan.

“Di Melaka, ada kawasan-kawasan yang dikatakan hampir pasti dimenangi oleh DAP dan ada kawasan yang mana jika tiada kerjasama antara PN dan Umno, mungkin sukar untuk calon daripada kedua-dua blok ini memenangi kerusi tersebut.

“Pertembungan tiga penjuru akan beri kelebihan kepada PH. Ini senario pada PRU14 dan kita akan lihat senario sama jika tidak ada perundingan antara Umno dan PN,” tambah beliau.

Menurut Marthada, tuduhan yang dilemparkan berhubung penyelewengan projek pasir di Melaka memberikan kesan terhadap Umno di Melaka memandangkan Idris masih mempunyai pengaruh sebagai bekas ketua menteri.

“Bayangkan jika Melaka tidak dimenangi oleh Umno-Barisan Nasional dan tiba-tiba diambil alih oleh PH. Ini akan melemahkan kredibiliti presiden.

“Saya percaya sedikit demi sedikit tekanan dapat mula dirasai bermula dengan krisis Umno di Melaka dan kenyataan-kenyataan (pimpinan parti) yang kita lihat tidak sehaluan,” katanya.

Menurut Marthada, ketakutan kepada pandemik seperti mana yang berlaku ketika PRN Sabah akan memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi di Melaka.

“Rakyat juga melihat bahawa PRU akan diadakan juga tidak lama lagi. Tiada sentimen untuk membuatkan rakyat bersungguh-sungguh turun mengundi.

“Di Melaka, jumlah pengundi tak ramai. Jika yang turun mengundi pun tidak ramai, ditambah pula dengan undi berpecah, ini pasti akan berikan kesan,” katanya.

Hisommudin berkata dalam keadaan peratusan keluar mengundi rendah, tidak mudah untuk PH merampas kembali Melaka.

“Kemenangan PH bersyarat, yang memerlukan peratusan keluar mengundi di aras melepasi 85% dengan tiga segmen yang menyumbang kemenangan mereka pada PRU14 lalu kekak iaitu pengundi Cina, pengundi luar dan pengundi muda,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles