- Iklan -
Berita

Bicara Shafee tangguh, peguam hadiri pengebumian

Pihak pembelaan juga memohon agar tarikh perbicaraan pada November ini dilapangkan kerana Shafee terikat dengan kes lain.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu. Gambar: Bernama
Peguam Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu. Gambar: Bernama

Perbicaraan kes peguam Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram dan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ditangguhkan ke 26 Oktober ini kerana peguam utamanya, Harvinderjit Singh menghadiri pengebumian.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, peguam Sarah Abishegam yang mewakili Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa Harvinderjit menghadiri upacara pengebumian pengajarnya sebelum beliau diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara.

“Pihak-pihak telah bersetuju untuk menggantikan tarikh perbicaraan pada hari ini kepada 26 dan 27 Oktober depan. Pihak pembelaan juga memohon agar tarikh perbicaraan pada November ini dilapangkan kerana Shafee terikat dengan kes lain,” kata peguam itu pada prosiding perbicaraan kes yang sepatutnya bersambung pada hari ini.

Sarah berkata perbicaraan selama empat hari adalah memadai memandangkan hanya tiga lagi saksi akan dipanggil dan mencadangkan tarikh perbicaraan seterusnya pada 8 dan 10 Disember ini.

Timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan itu.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan tarikh perbicaraan pada November dilapangkan dan menangguhkan perbicaraan pada hari ini selain menetapkan 26 Oktober untuk sambung bicara.

Pada 13 September 2018, Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.