- Iklan -
Berita

Zahid, isteri beli barangan mewah dari dana yayasan kebajikan, kata pendakwaan

Pendakwaan berkata lebih RM31 juta disalahgunakan daripada dana Yayasan Akalbudi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi hari ini. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi hari ini. Gambar: Bernama

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi dan isterinya Hamidah Khamis membeli-belah di beberapa butik mewah termasuk Giorgio Armani, Louis Vuitton dan Hermes sebelum menggunakan wang dari Yayasan Akalbudi untuk melangsaikan bil kad kreditnya, kata pihak pendakwaan dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi hari ini.

Menurut laporan New Straits Times, ketua pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran berkata penyata kad kredit Ambank milik Zahid menunjukkan beberapa amaun ratusan ribu digunakan sejak 2014 hingga 2016.

Ia termasuk RM534,412.52 pada 2014, RM708,134.47 pada 2015 dan RM54,168.99 bagi bulan Januari 2016.

Selain itu, beberapa pembayaran turut direkodkan termasuk RM30,771.19 (antara Februari dan Oktober 2014), RM3,914.84 (Mac 2015) dan RM30,635.80 (Julai 2015) bagi kad kredit Maybank miliknya.

Rozela turut berkata penyata bulanan bank presiden Umno itu turut menunjukkan penggunaan kad bagi pembelian di beberapa kedai mewah di seluruh dunia dan tempatan.

“Walaupun tabiat perbelanjaan defendan dan isterinya mungkin bukan isu dalam kes ini, seseorang tidak akan dapat mengelak dari mempersoalkan sama ada mereka memikirkan golongan miskin di Malaysia ketika membeli-belah barangan mewah di butik Giorgio Armani, Louis Vuitton atau Hermes, sekadar menyebut beberapa nama.

“Kami betul-betul mempersoalkan perkara itu,” katanya lagi.

Menurutnya, Zahid menguasai aset yayasan tersebut dan menggunakan duit seperti miliknya sehingga menyalahgunakan lebih RM31 juta dananya.

Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Jika disabitkan kesalahan, beliau bakal berdepan hukuman 20 tahun penjara dan denda.