Sunday, November 28, 2021

Polis panggil bekas exco Melaka beri keterangan gagal kembalikan kereta rasmi kerajaan

Polis meminta Noorhizam Hassan Baktee untuk hadir namun beliau memberi alasan mempunyai urusan di luar.

Other News

Polis akan memanggil bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Noorhizam Hassan Baktee dalam masa terdekat bagi merakam keterangan dan melengkapkan siasatan berhubung satu laporan mengenai kenderaan rasmi kerajaan negeri yang tidak dipulangkan.

Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata susulan daripada laporan oleh seorang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri telah membuka siasatan di bawah Sekyen 403 Kanun Keseksaan di atas kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur.

“Semalam polis telah membuat permohonan di bawah Seksyen 56 Kanun Prosedur Jenayah kepada Yang Arif Majistret Mahkamah Ayer Keroh untuk mengeluarkan waran geledah supaya proses pengambilan semula kereta tidak dipertikai mana-mana pihak berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Pada pukul 11.20 pagi semalam juga, sepasukan pegawai dan anggota JSJK Melaka telah merampas kereta jenis Toyota Camry berwarna hitam dan bernombor pendaftaran MAL 3 yang dijumpai di satu lot tempat kereta di kawasan kondominium di Jalan Perak, Bachang dan pihak polis telah meminta bekas Adun itu untuk hadir namun beliau memberi alasan mempunyai urusan di luar,” katanya pada sidang akhbar di IPK Melaka hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Majid berkata pihak polis turut merampas satu anak kunci kereta, satu kad tambah nilai dan satu kad pengisian minyak petrol daripada seorang lelaki yang juga pemandu rasmi kepada bekas exco kerajaan negeri itu turut berada di tempat kejadian dan menyaksikan rampasan dibuat.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati satu surat arahan untuk memulangkan kenderaan tersebut telah dikeluarkan oleh ketua penolong setiausaha kanan kerajaan negeri Melaka pada 5 Oktober dan telah diserahkan kepada pegawai khas bekas Adun berkenaan.

“Sehingga kini lima saksi telah dirakam percakapan untuk membantu siasatan kes ini dan kesemua mereka terdiri daripada kakitangan pejabat SUK negeri dan polis akan memanggil lebih ramai saksi untuk membantu siasatan ini.

“Siasatan lanjut juga akan dijalankan untuk mengetahui bagaimana kereta rasmi milik kerajaan negeri itu diletakkan di tempat letak kereta tersebut serta kaitannya dengan pemilik lot tempat letak kereta terbabit,” katanya.

Sementara itu, Abdul Majid berkata sejak pembubaran DUN minggu lepas, satu kertas siasatan telah dibuka berhubung kes khianat menerusi media sosial iaitu fitnah ke atas Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam dan polis telah menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam berusia 34 tahun dan pelajar perempuan insitusi pengajian tinggi (IPT) berumur 21 tahun minggu lepas untuk siasatan lanjut.

Katanya, satu kertas siasatan juga dibuka berhubung kes fitnah terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Ab Rauf Yusoh dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Sejak pembubaran DUN, keadaan di Melaka terkawal dan stabil. Setakat ini pemantauan pihak polis mendapati tiada pihak atau parti politik yang cuba mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Namun setakat ini kita telah memantau lebih 3,500 komen¬† di laman sosial berhubung pembubaran DUN yang dibuat oleh individu-individu secara emosi dan tidak mengetahui undang-undang selain telah merampas lapan kain rentang berbaur fitnah di sekitar di negeri ini,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles