Saturday, October 23, 2021

PDRM FA tidak boleh dianggap sebagai kumpulan miskin, kata pendakwaan

Kelab sukan itu tidak boleh dianggap sebagai kumpulan miskin yang memerlukan bantuan untuk dibayar gaji menggunakan dana Yayasan Akalbudi.

Other News

Ahmad Zahid Hamidi tidak sepatutnya menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB) untuk membayar gaji pemain Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA, dahulu dikenali sebagai PDRM FC) kerana kelab sukan itu tidak boleh dianggap sebagai kumpulan miskin yang memerlukan bantuan.

Timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran berkata semua pemain kelab bola sepak itu adalah golongan profesional dan satu-satunya isu yang mereka hadapi ialah gaji tertunggak dan masalah tersebut boleh diselesaikan sendiri oleh kelab berkenaan.

“Ia adalah sebuah kelab bola sepak dan bukan pertubuhan bukan kerajaan yang menguruskan dapur atau bank makanan.

“Kesemua pemain adalah pemain profesional. Pemain menerima gaji, kurangan wang tidak semestinya menjadikan mereka miskin atau melarat. Ia tidak termasuk dalam kategori miskin seperti yang dinyatakan atau dibayangkan dalam memorandum atau matlamat penubuhan YAB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berhujah di akhir kes pendakwaan pada perbicaraan bekas timbalan perdana menteri itu yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.

Matlamat penubuhan YAB ialah menerima dan menguruskan dana bagi membasmi kemiskinan di bawah program pembasmian kemiskinannya.

Isu pembayaran pemain Persatuan Bola Sepak PDRM disahkan oleh saksi pendakwaan ke-19 iaitu Zul Hisham Zainal, yang juga menantu Zahid semasa memberi keterangan bahawa sumbangan itu adalah bagi membayar gaji pemain selepas beliau meminta bantuan dana daripada bapa mentuanya.

Sebelum ini, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Zahid berhujah bahawa pembayaran RM1.3 juta kepada kelab bola sepak itu adalah bertujuan “membasmi kemiskinan dalam kalangan pemainnya.”

Raja Rozela juga berhujah bahawa penjawat awam juga layak mendapat bantuan daripada YAB kerana mereka tidak menerima gaji sebanyak itu dan kelab bola sepak tersebut tidak sesuai digambarkan sebagai berada dalam kemiskinan.

Beliau berkata tertuduh telah memperlakukan wang itu seperti miliknya sendiri yang menyaksikan 50 keping cek dikeluarkan antara 2014 dan 2016 daripada akaun YAB membabitkan jumlah RM13.1 juta.

Katanya Zahid menggunakan lebih RM13.1 juta bagi pembayaran kad kredit serta polisi insurans dan cukai jalan kenderaan, kelab bola sepak, firma konsultan TS Consultancy & Resources dan pinjaman kepada Armada Holdings Sdn Bhd.

Raja Rozela berhujah bahawa Zahid menggunakan RM360,000 dana yayasan itu untuk membayar TS Consultancy & Resources, yang ditubuhkan untuk menyediakan latihan serta kursus motivasi namun hakikatnya adalah cabang politik Barisan Nasional diwujudkan bagi membantu parti itu dalam pendaftaran pengundi di kawasan tertentu.

Beliau berkata selain itu, Zahid telah memberikan pinjaman sebanyak RM10 juta kepada Armada Holdings Sdn Bhd dengan syarat ia harus dibayar dalam tempoh sebulan bersama faedah.

“Tertuduh turut menggunakan dana YAB untuk membayar bil kredit kadnya lebih RM1.3 juta yang digunakan untuk membeli-belah di butik mewah seperti Giorgio Armani, Louis Vuitton atau Hermes serta menggunakan RM107,508.55 bagi membayar cukai jalan serta insurans bagi 20 kenderaan miliknya dan tiga lagi termasuk isteri beliau (Hamidah Khamis), BZ Motors serta Juhari Janan antara Januari dan September 2015,” katanya.

Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles