Wednesday, December 8, 2021

Cerai ketika pandemik: Bagaimana PKP runtuhkan rumah tangga

Tekanan kewangan dan hubungan jarak jauh antara pasangan menjadi punca kemusnahan banyak rumah tangga.

Other News

Ketika Munirah Faizal ingin berkahwin dengan pasangannya, dia mengimpikan keluarga yang berkekalan dan bahagia.

Meskipun tiada rumah tangga yang tidak bergolak, wanita itu dan pasangannnya tidak kuat untuk menghadapi cabaran dengan terlaksananya perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.

Dia dan suaminya merupakan pasangan jarak jauh sejak 2019 apabila dia terpaksa meninggalkan suaminya yang bekerja di Kedah, untuk bekerja di Kuala Lumpur.

“Sebelum Covid-19 melanda, tiap-tiap minggu dia akan balik. Selepas PKP, dia tidak balik langsung untuk bertemu saya dan anak-anak,” katanya kepada MalaysiaNow.

Semakin hari, Munirah merasakan hubungan dengan suaminya semakin renggang.

Firasatnya terbukti benar apabila suaminya pulang pada hujung 2020 untuk berbincang mengenai perceraian mereka.

“Bila dia bercakap mengenai cerai, saya dah agak.

“Sebelum itu, saya ada minta dia berfikir masak-masak namun setelah melihat dia nekad mahukan perceraian, saya tak boleh buat apa.”

Munirah yang bekerja sebagai kakitangan perkhidmatan pelanggan di Kuala Lumpur itu bercerai dengan pasangannya pada Mac tahun ini.

Kini, dia bersendirian dalam membesarkan dua anaknya yang berusia empat tahun dan setahun enam bulan.

“Anak yang sulung banyak kali juga tanya mana baba dia?

“Ayah saya cakap tak perlu jelaskan dahulu mengenai perceraian kerana dia terlalu kecil untuk memahami situasi kami,” katanya.

Munirah dan bekas suaminya adalah sebahagian daripada ribuan pasangan yang bercerai ketika pandemik melanda.

Menjelaskan mengenai trend ini, pakar sosiologi Syarifah Fatimah Al Attas dari Universiti Islam Antarabangsa berkata, perceraian membawa impak yang lebih besar kepada golongan B40 yang kebanyakan bergantung kepada pendapatan daripada ketua keluarga sahaja.

Lebih memburukkan, mereka tidak mempunyai akses untuk sesi kaunseling berbanding golongan yang mampu, mewujudkan situasi “persaingan” untuk kaunseling.

“Kita nampak keciciran (anak-anak B40) apabila mereka tidak boleh menyertai sesi pelajaran online.

“Bagi anak-anak yang lebih muda, mereka tidak tahu bahawa mereka perlukan sokongan. Jika ibu bapa tidak dapatkan sokongan kepada mereka, anak-anak ini akan menghadapi kesukaran dalam tempoh penyesuaian (adjustment period) dan memenuhi keperluan anak-anak mereka,” katanya.

Katanya, ibu bapa yang boleh bercerai perlu mempraktikkan perceraian yang baik (good divorce) atau “co-parenting”.

Menerusi good divorce, pasangan yang bercerai belajar bagaimana untuk kekal menguruskan anak dengan baik serta tidak bercakap buruk terhadap bekas pasangan di depan anak-anak.

“Walaupun pasangan bercerai, mereka perlu pastikan anak-anak mereka kekal stabil dan bantu anak-anak mereka dalam menghadapi tempoh penyesuaian.

“Di Malaysia, kita tidak mempunyai cukup data mengenai pasangan melakukan co-parenting selepas bercerai. Dalam kebanyakan kes yang kita jumpa dalam kertas kajian atau laporan daripada akar umbi. kebanyakannya ialah ibu atau bapa tunggal yang mengetuai keluarga,” katanya.

Menjelaskan mengenai impak perceraian kepada masyarakat, katanya implikasi ekonomi seperti nafkah dan pembahagian harta antara perkara yang perlu dibimbangkan.

“Kita juga kena melihat kesan kepada pasangan yang bercerai, sama ada ia positif atau tidak, kerana ia memberi impak kepada mereka selaku anggota masyarakat.

“Bagi kanak-kanak yang terlibat dalam perceraian, implikasinya membabitkan pendidikan, kesejahteraan, sikap dan akses kepada peluang-peluang dalam kehidupan,” tambahnya.

Namun anggota masyarakat juga mempunyai peranan bagi mengimbangi impak perceraian.

Sharifah menggesa anggota masyarakat untuk memikirkan bagaimana untuk menyokong keluarga yang menghadapi perceraian.

“Kanak-kanak menjadi collateral damage. Kehidupan mereka berubah tetapi kita berharap agar perubahan itu tidak berlaku secara negatif.

“Bagaimana kita membina struktur dalam masyarakat dan seberapa banyak sokongan kita berikan kepada kanak-kanak serta ibu tunggal ini akan menentukan hasilnya.

“Semakin banyak stigma, semakin kurang sokongan dan hasilnya akan menjadi lebih buruk.”

Menurut Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), jumlah kes perceraian bagi golongan bukan Islam di seluruh Malaysia yang difailkan bagi tempoh bermula dari bulan Mac 2020 hingga Ogos 2021 adalah sebanyak 10,346 kes.

Kes permohonan cerai yang difailkan di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia membabitkan pasangan Muslim sejak Mac 2020 hingga Ogos ini yang dijana melalui sistem e-Syariah adalah sebanyak 66,440 kes keseluruhannya.

Mengulas mengenai trend perceraian, pengerusi LPPKN, Mohd Nizar Zakaria berkata, selain kecurangan, ketua keluarga yang menghadapi masalah kehilangan punca pendapatan dan buntu untuk mencari jalan penyelesaian adalah antara punca rumah tangga bergolak.

“Isu keganasan rumahtangga turut berlaku kerana individu tidak dapat mengawal emosi akibat terlalu lama tinggal di rumah dan perceraian berlaku disebabkan perkara yang tidak munasabah dan turut memberi kesan kepada perkembangan psikologi dan emosi anak-anak tanpa mereka sedari,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, perceraian semasa tempoh PKP memberikan kesan berganda dari segi emosi dan kewangan kepada mereka yang terlibat, berbanding perceraian ketika sebelum pandemik melanda.

Kata Nizar, penyelesaian jangka masa panjang terhadap isu ini ialah penguasaan ilmu kekeluargaan oleh suami dan isteri.

“Ilmu yang diperoleh berupaya menentukan sejauh mana kejayaan seseorang dalam apa jua yang dilakukannya terutama dalam mencapai matlamat sesebuah perkahwinan.

“Dalam erti kata mudah, penguasaan ilmu dapat membantu pasangan memanjangkan hayat perkahwinan mereka,” katanya.

Namun beliau positif dengan pembukaan sektor ekonomi dan sosial akan datang, kebimbangan ibu bapa terhadap ekonomi keluarga akan mula berkurangan, seterusnya mempengaruhi penurunan kes konflik rumah tangga dan trend perceraian.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles