- Iklan -
Berita

Malaysia kekal pendirian Aukus berpotensi gugat keamanan Asia Tenggara

Aukus juga boleh mewujudkan provokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein. Gambar: Bernama
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein. Gambar: Bernama

Malaysia kekal dengan pendirian bahawa pembentukan pakatan strategik keselamatan baharu Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (Aukus) melahirkan kegusaran kerana berpotensi mengganggu gugat keamanan dan kestabilan Asia Tenggara.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata ia konsisten dengan pendirian disuarakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa Aukus juga boleh mewujudkan provokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan.

“Pendirian ini tidak berganjak walaupun selepas bertemu utusan khas Australia Naib Laksamana David Johnston dan sebelum itu saya adakan perbualan telefon bersama Menteri Pertahanan Australia Peter Dutton.

“Dalam kedua-dua perbincangan ini saya telah tegaskan bahawa Malaysia tidak mahu diheret dalam geopolitk pertimbangan kuasa-kuasa besar dunia di rantau ini,” katanya ketika menjawab soalan ahli Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Nizar Zakaria (Umno-Parit) yang mahu mengtahui pendirian terkini kerajaan berhubung Aukus susulan kunjungan Johnston baru-baru ini.