- Iklan -
Berita

Jabatan Peguam Negara dapati wujud kesalahan lain berhubung kehilangan wang AS$6.94 juta

Jabatan Peguam Negara berkata siasatan lanjut perlu dilaksanakan berhubung kehilangan wang tersebut.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
Bangunan Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Jabatan Peguam Negara hari ini berkata wujud beberapa kesalahan lain setelah mengkaji dan meneliti kertas siasatan berkaitan kes kehilangan wang AS$6.94 juta yang diterima pada 28 September 2021 daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jabatan Peguam Negara mendapati wujud kesalahan-kesalahan lain yang memerlukan siasatan lanjut dilakukan oleh agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

“Kertas siasatan telah dikembalikan untuk tindakan lanjut,” kata jabatan itu dalam sebuah kenyataan hari ini.

SPRM sebelum ini mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid.

Pada Ogos 2018, SPRM menggeledah dan merampas sejumlah wang tunai dolar Amerika Syarikat dari sebuah unit kondominium di Cyberjaya.

Pada 12 April lalu, Hasanah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada pertuduhan melakukan pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Beliau dilapor mahu menuntut semula wang berkenaan daripada SPRM, namun didakwa hanya tinggal sebahagian duit dan duit palsu.