- Iklan -
Berita

Hamzah pertahan keputusan KDN rayu perintah mahkamah berhubung kewarganegaraan setara

Menteri dalam negeri berkata walau bersimpati, namun beliau perlu mengikut undang-undang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mempertahankan tindakan kementeriannya untuk tidak mematuhi perintah mahkamah yang memberikan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan wanita warga Malaysia di luar negara hasil perkahwinan dengan warga asing, mengatakan kewarganegaraan adalah penghargaan tertinggi yang diberikan oleh kerajaan dan tidak boleh ditawarkan sewenang-wenangnya.

Bercakap dalam wawancara di stesen penyiaran RTM malam tadi Hamzah berkata wujud dua kes yang kini dipersoalkan namun keputusan berhubung isu yang sama adalah berbeza.

“Satu kes, Suriani vs kerajaan persekutuan. Suriani menang. Satu lagi kes, Mahisha Abdul Majeed vs kerajaan, kerajaan menang.

“Oleh kerana ada beza di sini, saya sebagai menteri hanya dapat mengikuti Perlembagaan Persekutuan. Saya simpati perkara ini, bukan tolak sewenang-wenangnya.”

Hamzah berkata sekiranya tidak mematuhi keputusan mahkamah, beliau akan dilihat seperti menghina mahkamah.

“Kalau saya nak ikut mahkamah, ini maknanya saya langgar Perlembagaan. Apa gunanya saya bersumpah tetapi tidak ikut Perlembagaan?

“Isu ini jangan mudah dipermainkan begitu saja,” tambahnya.

“Kalau saya simpati, apa yang patut saya lakukan?”

Kes yang dirujuk Hamzah tersebut adalah kes Suriani Kempe dan enam yang lain terhadap kerajaan Malaysia dan kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed terhadap ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan dua yang lain atas tafsiran istilah “bapa” dalam Jadual Kedua Bahagian II Bahagian 1 (b) dan 1 (c) Perlembagaan Persekutuan.

Hamzah berkata langkah kerajaan untuk meneruskan rayuan terhadap kes Mahisha itu adalah bagi mengelak daripada menghina mahkamah dan mematuhi peruntukan Perlembagaan.

“Kalau saya nak tukar Perlembagaan, bukan saya seorang sahaja yang menentukan,” katanya.

Menurutnya, jika hendak ditukar dasar tersebut ia perlu dibawa ke Kabinet dan kemudian perlu dibawa kepada Raja-Raja Melayu.

“Kalau Majlis Raja-Raja Melayu setuju, barulah boleh kita kembali untuk tukar polisi untuk seksyen tertentu,” katanya.

“Walau macam mana simpati saya pun, saya akan balik kepada perundangan ikut cara tertentu untuk akhirnya kita boleh ubah dan beri keselesaan kepada semua.”

Beliau juga berkata dalam banyak kes, masalah utama yang yang dihadapi adalah pendaftaran perkahwinan ibu bapa.

“Kalau ibu merasakan beri keutamaan untuk warganegara dia patut lahirkan dalam Malaysia, dalam negara. Kalau beri keutamaaan taraf warga suami dan lahir di luar negara kerana mana undang-undang pun beri tanggungjawab kepada ibu dan bapa terhadap pendaftaran anaknya. Tak ada masalah pun.

“Masalah timbul ialah ketika anak dilahirkan di luar negara dan bapanya bukan warganegara.”

Hamzah berkata walaupun Perlembagaan Persekutuan membenarkan permohonan dibuat, ia tidak menjamin permohonan itu akan dipersetujui.

“Ini jadi isu besar dalam negara. Kena faham kedudukan Saya yang jaga undang-undang tentang isu kerakyatan saya juga sumpah untuk ikut Perlembagaan.

“Yang paling utama – kesetiaan kepada negara. Kalau setia kita pasti mahu kerakyatan negara kita sendiri.”