Saturday, December 4, 2021

Berjiwa Malaysia tetapi tak diterima menjadi warganya

Pada usia 21 tahun, Sara sedang belajar untuk menjadi peguam namun tahu status dirinya dalam undang-undang masih samar.

Other News

Duduk di sebuah taman di Subang Jaya, Sara (bukan nama sebenar) yang berusia 21 tahun kelihatan sama seperti wanita muda lain yang penuh semangat untuk berdepan setiap hari baru.

Dia duduk untuk berbicara mengenai cita-citanya yang mahu menjadi seorang peguam dan membantu golongan yang memerlukan.

Namun, bagi Sara, impiannya atau yang senasib dengannya mungkin tidak akan pernah menjadi kenyataan – semuanya kerana mereka tidak memiliki sekeping kertas.

Sara, seperti puluhan ribu yang lain di seluruh negara, diklasifikasikan sebagai tiada kerakyatan.

Dia dilahirkan dan dibesarkan di Sabah bersama dua saudara kandungnya.

Mereka adalah cahaya mata daripada seorang bapa warga Malaysia dan ibu rakyat Filipina.

Namun, walaupun tinggal bersama selama beberapa tahun, pasangan itu tidak pernah mendaftarkan perkahwinan mereka.

Ibu Sara kembali ke Filipina pada 2004 setelah melahirkan adik bongsunya, menyebabkan bapanya sendirian menjaga mereka semua.

Pada awalnya, Sara tidak pernah melihat situasinya itu sebagai masalah.

Sara merasa dirinya dilayani seperti kanak-kanak lain dan tidak pernah mengalami diskriminasi.

Namun ketika usianya menginjak 12 tahun, usia kanak-kanak Malaysia memperolehi kad pengenalan rasmi atau MyKad, dia mula merasa perubahan.

Ketika bersekolah menengah, dia menyedari dirinya tidak dapat mengikuti banyak aktiviti seperti rakan-rakannya yang lain.

“Saya berjaya menamatkan pengajian di sekolah kebangsaan kerana saya seorang pelajar cemerlang dan sekolah sangat menerima keadaan itu,” katanya.

“Namun menjelang SPM, saya mula bertanya mengapa saya ambil peperiksaan ini sedangkan saya tidak tahu nak pergi ke mana,” tambahnya.

“Walaupun rakan-rakan saya boleh memohon untuk pergi ke universiti awam dan merancang masa depan mereka, saya tidak dapat lakukan perkara itu.”

Sebagai seorang penduduk tanpa kerakyatan, Sara juga tidak boleh memohon lesen memandu atau membuka akaun bank.

“Ia sangat mengecewakan dan menjatuhkan semangat saya untuk meneruskan semua itu,” katanya.

‘Lakukan sendiri’

Bergelut dengan pelbagai perkara yang mengecewakan, Sara memilih untuk cuti setahun setelah menamatkan SPM bagi mencuba dan memahami kehidupan yang dilaluinya.

“Saya faham ayah saya sibuk bekerja untuk besarkan kami. Saya tidak boleh minta dia keluar dan uruskan semuanya untuk saya,” katanya.

“Saya mesti cari peluang itu sendiri.”

Sara berbicara mengenai usahanya mendapatkan kerakyatan Malaysia ketika ditemui MalaysiaNow di Subang Jaya.

Sara kemudian mencari organisasi bukan kerajaan untuk mempelajari lebih banyak mengenai apakah ertinya menjadi seorang penduduk tanpa kewarganegaraan dan bagaimana cara untuk melanjutkan pendidikan di peringkat lebih tinggi.

Setelah perjalanan panjang dan penuh gelora, dia berjaya mendapat tempat di universiti swasta di mana Sara kini berada di tahun kedua sebagai pelajar jurusan undang-undang.

“Saya minat dengan undang-undang sejak saya kecil lagi, dan saya tahu dalam banyak perkara saya selalu bangga dengan negara ini,” katanya.

“Saya ingin menyumbang kepada masyarakat. Saya harap saya dapat menjadi peguam sehingga saya dapat menolong orang tanpa membeza-bezakan mereka, dan membuat mereka merasa berpeluang mendapat keadilan.”

Sara sudah berusaha untuk memohon kewarganegaraan di bawah Artikel 15A Perlembagaan Persekutuan.

Namun setelah tiga tahun berusaha menguruskannya, permohonan Sara ditolak tanpa sebarang alasan diberikan.

“Saya cuba lagi, dan sekarang saya sedang dalam proses menunggu,” katanya.

“Proses ini memakan masa yang sangat lama, dan sangat sukar bagi saya.”

Bukan sekadar itu, wujud juga masalah lain yang turut menjadi cabaran kepada Sara.

“Artikel 15A sepatutnya untuk kanak-kanak di bawah usia 21 tahun, dan saya akan berumur 22 tahun tidak lama lagi.

“Ini akan menjadi satu lagi perjuangan bagi saya selepas ini kerana saya perlu mempertimbangkan pilihan lain untuk hidup dengan baik dan dapat menikmati keperluan asas yang dimiliki orang lain.”

Bagi Sara, Malaysia adalah negaranya, dia sudah tinggal di sini sejak lahir lagi.

“Malaysia adalah tanah air saya dan Sabah sentiasa dekat di hati saya,” katanya.

“Saya rasa saya tidak mahu kewarganegaraan lain. Saya tahu bahasa, orang, dan budaya di sini. Saya rasa macam tipu diri sendiri untuk kata negara lain mahukan saya, dan panggil negara asing itu sebagai tanah air saya.”

Sara bertekad untuk terus berjuang sedaya upayanya, dan akan sentiasa menganggap dirinya seorang rakyat berjiwa Malaysia walaupun tidak memiliki identiti yang sah.

Ketika ditanya apa yang paling menakutkan sepanjang perjalanannya bagi mendapatkan kerakyatan negara ini, air matanya mengalir.

“Melihat rakan-rakan saya terus mendahului saya ketika saya tahu bahawa saya juga mampu melakukannya, dan boleh buat sebaik mereka.

“Hanya kerana sekeping dokumen, pergerakan saya terhad dan saya tidak dapat mengambil peluang yang datang kepada saya.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles