Saturday, October 16, 2021

Penguasaan bahasa kebangsaan bergantung kepada sikap murid, kata menteri

Ramai lepasan SJKC dan SJKT fasih berbahasa Melayu.

Other News

Penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan murid-murid di sekolah bergantung kepada sikap terhadap penggunaannya, tegas Menteri Pendidikan, Radzi Jidin.

Katanya, kementerian pendidikan (KPM) mengekalkan dasar sedia ada berdasarkan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 berhubung perkara itu.

“Bagi memastikan murid fasih berbahasa Melayu, KPM melaksanakan Pelan Hala Tuju Memartabatkan Pendidikan Bahasa Melayu 2016-2025 melalui strategi pemerkasaan bahasa Melayu bagi memastikan murid di institusi KPM menguasai bahasa Melayu.

“Institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM juga digalakkan untuk melaksanakan strategi pemerkasaan Bahasa Melayu dalam pelan hala tuju tersebut,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 menyatakan bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan kecuali di sekolah jenis kebangsaan (SJK) atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan.

Manakala bahasa kebangsaan wajib diajar di institusi pendidikan yang mana bahasa pengantar utama bukan bahasa kebangsaan.

Radzi menjawab soalan Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang ingin tahu perancangan kementerian melaksanakan sekolah satu aliran bagi menyelesaikan isu masyarakat yang tidak fasih berbahasa Melayu.

Katanya, keberadaan sekolah pelbagai aliran seperti SJK Cina dan SJK Tamil, murid-murid di sekolah itu masih dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.

“Di luar sana, ramai yang mampu berbahasa Melayu walaupun mereka berbangsa Tionghua ataupun berbangsa India.

“Dalam dewan yang mulia ini, ada beberapa Yang Berhormat sangat fasih berbahasa Melayu. Contohnya Yang Berhormat Ayer Hitam, Menteri Pengangkutan (Wee Ka Siong). Cukup baik bahasa Melayunya. Sama juga dengan Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Malaysia (Mah Hang Soon). Cukup fasih dalam bahasa Melayu,” kata Radzi.

Pada 25 Ogos tahun lalu, Menteri Perpaduan Halimah Mohamed Siddique menyatakan sekolah vernakular tidak akan dihapuskan.

Katanya, usaha memupuk perpaduan negara berupaya dirintis menerusi kaedah lain.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles