- Iklan -
Berita

Menteri kesihatan jangka 80% remaja akan lengkap divaksinasi pada Oktober

Khairy juga berkata dos penggalak akan mula diberikan kepada barisan hadapan pada minggu depan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pelajar sekolah divaksinasi dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang dilancarkan September lalu. Gambar: AP
Pelajar sekolah divaksinasi dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang dilancarkan September lalu. Gambar: AP

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjangka 80% remaja lengkap divaksinasi pada akhir bulan ini.

Menurutnya, pada akhir Oktober, semua negeri termasuk Sabah akan mencapai nilai ambang 80% dewasa lengkap divaksinasi.

“Dan 80% daripada golongan remaja juga akan lengkap divaksinasi pada bulan ini,” kata Khairy dalam temu bual Astro Awani malam tadi.

Minggu lalu, dalam sebuah kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak (booster dose) vaksin Covid-19, Pfizer BioNTech, bagi golongan berusia 18 tahun ke atas.

Vaksinasi remaja dilancarkan secara rasmi pada 20 September lalu walaupun ia telah dilaksanakan lebih awal di Sarawak.

Setakat ini, hanya empat negeri masih belum mencecah kadar 80% vaksinasi dewasa: Perak (79.8%), Kedah (79.5%), Kelantan (73.6%) dan Sabah (65.1%).

Dalam pada itu, dos penggalak akan diberi kepada barisan hadapan mulai minggu depan, kata Khairy

Pemberian dos ketiga dan penggalak akan mula diberikan kepada petugas barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi bermula minggu hadapan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata pemberian dos vaksin berkenaan akan bertumpu kepada golongan terbabit dahulu menggunakan vaksin Pfizer sebelum diteruskan kepada rakyat kebanyakan.

“Kita akan buat kajian juga untuk menggunakan Sinovac dan AstraZeneca untuk dos penggalak, di mana keduanya boleh dicampur.

“Kita akan mula dos penggalak pada minggu akan datang,” tambahnya.

Menurut Khairy dos penggalak hanya diberikan kepada golongan tidak cukup dua dos vaksin bagi merangsang perlindungan sistem imun.

Ia termasuk mereka yang mempunyai sistem imun lemah, dan mereka yang memiliki komorbiditi.

Katanya, dos penggalak juga akan diberikan kepada mereka yang memiliki tahap imunisasi yang berkurangan dalam tempoh tertentu.

“Mereka ini juga perlu diberikan dos penggalak.”