- Iklan -
Berita

Malaysia cecah 90% dewasa lengkap vaksin ketika larangan rentas negeri dibatalkan

94.8% dewasa menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin, sementara empat negeri masih di bawah kadar 80% dewasa lengkap divaksinasi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki memeriksa suhu sebelum menerima suntikan vaksin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang. Gambar: Bernama
Seorang lelaki memeriksa suhu sebelum menerima suntikan vaksin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang. Gambar: Bernama

21,073,482 individu atau 90.02% populasi dewasa di seluruh negara lengkap divaksinasi setakat semalam ketika larangan rentas negeri dibatalkan di seluruh negara.

Sementara 22,185,520 atau 94.8% populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin termasuk suntikan vaksin dos tunggal CanSino.

Dari segi populasi keseluruhan, 65.2% lengkap divaksinasi sementara 74.9% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sejumlah 129,518 dos vaksin diberikan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan vaksin diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kepada 45,650,714.

Empat negeri masih belum mencecah kadar 80% vaksinasi dewasa: Perak (79.8%), Kedah (79.5%), Kelantan (73.6%) dan Sabah (65.1%).

Bernama melaporkan tiada aliran trafik luar biasa dikesan walaupun rentas negeri dibenarkan bermula tengah malam tadi bagi mereka yang telah lengkap divaksinasi.

Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Jalan Duta tengah malam ini mendapati aliran trafik seperti biasa walaupun terdapat pertambahan kenderaan.

Menurut laporan Bernama, Beberapa kenderaan turut dilihat berhenti 300 meter daripada plaza tol bagi menantikan detik 12 tengah malam sebelum keluar daripada Plaza Tol Gombak.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perjalanan rentas negeri dibenarkan kepada mereka yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Beliau berkata tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) untuk memantau sempadan negeri namun SJR pemeriksaan rawak akan tetap dilaksanakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).