- Iklan -
Berita

Anak bawah 18 tahun boleh sertai ibu bapa bagi aktiviti pelancongan, kata menteri

Mereka boleh mengikut ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksinasi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seisi keluarga mengambil kesempatan untuk beriadah di lokasi pelancongan dan rekreasi selepas kelonggaran rentas negeri diumumkan Putrajaya.
Seisi keluarga mengambil kesempatan untuk beriadah di lokasi pelancongan dan rekreasi selepas kelonggaran rentas negeri diumumkan Putrajaya.

Kebenaran rentas negeri bagi aktiviti pelancongan juga tertakluk kepada individu yang telah lengkap vaksinasi Covid-19, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri.

“Anak-anak di bawah umur 18 tahun boleh turut serta (melancong) bersama-sama ibu bapa atau penjaga masing-masing yang telah lengkap divaksinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung kebenaran rentas negeri.

Nancy berkata pengumuman kebenaran rentas negeri oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam, merupakan khabar gembira yang telah lama dinantikan penggiat industri pelancongan bagi merancakkan kembali sektor pelancongan, seni dan budaya tempatan.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) yang menyambut baik pengumuman itu melihat ia dapat menjamin kelangsungan hidup pekerja-pekerja dalam rantaian sektor berkenaan, yang telah lama terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

“Saya berharap dengan pelaksanaan pembukaan rentas negeri ini, ia boleh membantu dalam memulihkan kembali sektor pelancongan, seni dan budaya seterusnya dapat membina kembali kekuatan ekonomi negara,” katanya.

Ismail pada sidang media khas semalam memaklumkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan yang rakyat Malaysia yang lengkap menerima vaksin Covid-19, dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara tanpa “MyTravelPass” (MTP) Jabatan Imigresen juga berkuat kuasa hari ini.

Bagi memulihkan kembali sektor pelancongan, Nancy berkata salah satu fokus yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Pelancongan oleh Motac adalah dengan mengembalikan keyakinan pelancong terhadap tahap keselamatan di sesuatu destinasi pelancongan.

“Motac akan berusaha untuk memastikan sektor pelancongan negara mampu menjana semula pendapatan secara berterusan dan akan terus merangka kempen promosi yang lebih agresif dan strategik bagi merancakkan kembali sektor pelancongan negara,” katanya.

Nancy berkata pengunjung yang ingin melakukan aktiviti pelancongan digalakkan menjalani ujian pengesanan Covid-19, sebelum memulakan perjalanan.

“Tindakan ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan untuk memutuskan rantaian serta mengawal penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

“Patuhilah segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh Majlis Keselamatan Negara, kementerian kesihatan serta kementerian dan agensi yang berkaitan,” katanya.