- Iklan -
Berita

83% pelajar IPT sudah terima dos vaksin lengkap

Kemasukan pelajar IPT bakal diadakan secara berperingkat, dengan penerima dos lengkap diberi keutamaan ke kampus.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Kementerian pendidikan tinggi (KPT) dengan kementerian kesihatan menyediakan kemudahan vaksinasi secara "walk-in" kepada pelajar dan kakitangan IPT di mana-mana pusat pemberian vaksin bermula 9 September lalu.
Kementerian pendidikan tinggi (KPT) dengan kementerian kesihatan menyediakan kemudahan vaksinasi secara "walk-in" kepada pelajar dan kakitangan IPT di mana-mana pusat pemberian vaksin bermula 9 September lalu.

Seramai 83% pelajar institut pengajian tinggi (IPT) menerima dos lengkap vaksinasi sehingga 1 Oktober lepas membabitkan 951,739 pelajar daripada jumlah keseluruhan 1.15 juta, kata Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad.

Beliau berkata, bagi kakitangan IPT, 90% atau 117,721 orang atau 90% telah menerima dos lengkap vaksinasi.

Katanya, kementerian pendidikan tinggi (KPT) dengan kementerian kesihatan menyediakan kemudahan vaksinasi secara “walk-in” kepada pelajar dan kakitangan IPT di mana-mana pusat pemberian vaksin bermula 9 September lalu.

“KPT dengan kerjasama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang giat melaksanakan program vaksinasi warga IPT melalui program VACC2CAMPUS bagi meningkatkan kadar vaksinasi warga IPT khususnya kepada pelajar,” katanya ketika menjawab soalan Akmal Nasrullah Nasir (PH-Johor Bahru) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar).

Katanya KPT memberi keutamaan kepada penerima dos vaksin lengkap untuk kembali ke kampus secara berperingkat.

“Manakala pelajar-pelajar yang lain boleh mengikuti PdP secara dalam talian. Ketetapan ini adalah bagi menyediakan persekitaran IPT yang lebih selamat untuk melaksanakan aktiviti PdP secara bersemuka dengan norma baru dan mematuhi SOP yang ditetapkan.”

KPT juga jelas beliau merangka strategi pembukaan semula IPT dengan perbincangan bersama beberapa agensi kerajaan seperti KKM, Majlis Keselamatan Negara dan syarikat penyedia perbincangan.

Antara aspek yang ditekankan dalam membuka semula IPT termasuklah kemasukan pelajar secara berperingkat, sesi pengajaran dan pembelajaran. aktiviti pelajar, urusan keluar masuk kampus dan pengurusan pelajar positif Covid-19 atau bergejala.

KPT terdahulu mengumumkan pembukaan semula IPT pada bulan ini untuk kemasukan pelajar secara fizikal. Ia juga selaras dengan pengumuman rentas negeri semalam oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Sehingga semalam seramai 21,073,482 individu atau 90.02% populasi dewasa di seluruh negara menerima dua dos vaksin lengkap.