- Iklan -
Berita

3 rang undang-undang dijangka dibentang di Parlimen hari ini

Perancangan pelaksanaan sekolah satu aliran juga bakal dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tiga rang undang-undnag bakal didengar di Dewan Rakyat untuk sebutan kali pertama hari ini. Gambar: Bernama
Tiga rang undang-undnag bakal didengar di Dewan Rakyat untuk sebutan kali pertama hari ini. Gambar: Bernama

Berbaki dua hari lagi penutupan sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, tiga Rang Undang-Undang dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama hari ini termasuk Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, dua lagi adalah Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021.

Bagi waktu pertanyaan jawab lisan pula, Salim Sharif (BN-Jempol) meminta menteri kewangan menyatakan implikasi faedah terakru kepada para peminjam menerusi moratorium dan kesediaan kerajaan untuk meghapuskan faedah tersebut.

Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pula meminta menteri kanan pendidikan menyatakan sejauh mana perancangan kementerian dalam meneruskan usaha melaksanakan satu aliran sekolah sahaja iaitu Sekolah Kebangsaan supaya tiada lagi masyarakat yang tidak fasih berbahasa Malaysia.

Selain itu, soalan Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) kepada menteri komunikasi dan multimedia pula mengenai skrip drama yang menggunakan watak bergelar Tan Sri dan Datuk Seri yang tidak bermoral seperti melakukan hubungan sulit dengan isteri orang serta mengambil rasuah kerana ia menjatuhkan imej gelaran tersebut.

Turut ditanya adalah soalan mengenai pengeluaran dan pengedaran benih padi sah kepada peladang yang diajukan oleh Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt ini.