Friday, October 15, 2021

Kerajaan digesa naikkan kadar pencen ketika kos sara hidup makin tinggi

Cuepacs gesa kerajaan naikkan kadar pencen terendah bagi pesara perkhidmatan awam dari RM1,000 kepada RM1,800 sebulan.

Other News

Kerajaan digesa menaikkan kadar minimum pencen bagi pesara pekhidmatan awam dari RM1,000 kepada RM1,800 menjelang pembentangan Belanjawan 2022 tidak lama lagi.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata ia adalah bagi membolehkan pesara kerajaan mampu menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Pada ketika ini, ramai pesara kerajaan terhimpit dengan masalah kewangan kerana wang pencen mereka tidak cukup kerana perlu bayar pinjaman perumahan, membiayai yuran pendidikan anak-anak serta membeli barangan keperluan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Harga rumah yang semakin mahal sudah tentu mengakibatkan tempoh pinjaman terpaksa dilanjutkan sehingga lebih usia 60 tahun. Ini belum dicampur dengan perbelanjaan wajib seperti pinjaman sewa beli kenderaan dan lain-lain.”

Pada 30 September, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Abdul Latiff Ahmad memberitahu Dewan Rakyat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang meneliti kaedah menambah baik bayaran pencen kepada pesara kerajaan khususnya bagi kumpulan berpendapatan rendah (B40).

Terdapat kira-kira 700,000 pesara kerajaan di seluruh negara dengan jumlah bayaran pencen dianggarkan sebanyak RM700 juta sebulan.

Sementara itu, Adnan berkata, saranan supaya kerajaan terus menyemak kadar pencen bukanlah satu perkara yang baru malah sering diutarakan kesatuan itu sejak sekian lama.

Katanya, sebelum 2009, pesara kerajaan yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun hanya memperoleh pencen bulanan sebanyak RM280 sebulan disebabkan skim gaji penjawat awam yang amat rendah pada ketika itu berbanding sekarang.

“Saranan kami akhirnya didengari apabila kerajaan bersetuju menaikkan pencen bulanan pesara daripada RM280 kepada RM720 bermula 1 Januari 2009.

“Dari semasa ke semasa, kami terus berunding dengan kerajaan agar bayaran pencen kepada pesara sentiasa dikemaskini mengikut persekitaran semasa ekonomi negara,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan kemudian menaikkan kadar pencen pesara yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun daripada RM720 kepada RM820 sebulan pada 1 Januari 2012.

“Pada Januari 2013, kerajaan mengumumkan kenaikan pencen 2% setahun kepada semua pesara kerajaan sebelum bersetuju menaikkan kadar pencen terendah kepada RM1,000 pada 2018,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Latiff, Adnan berkata sudah tiba masa kerajaan mengkaji semula dan menambah baik pencen pesara kerajaan memandangkan kos sara hidup kini terus meningkat.

“Ketika ini bayaran pencen terendah untuk penjawat awam yang berkhidmat atas 25 tahun ialah RM1,000 dengan kenaikan 2% setahun.

“Ini menunjukkan kenaikan minima ialah RM20 setahun, tetapi kos sara hidup rasanya naik lebih banyak daripada jumlah tersebut,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles