- Iklan -
Berita

Pendengaran permohonan sekat PetroSaudi guna wang AS$340 juta berkait 1MDB ditangguh

Ia bagi memberi tempoh kepada firma guaman Clyde & Co LLP di UK mengesahkan sama ada mereka mahu menjawab dan mengemukakan afidavit berhubung dokumen yang disampaikan kepada mereka.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan sedang berusaha untuk menyekat PetroSaudi dan Tarek Obaid daripada menggunakan duit berkait 1MDB yang disimpan dalam sebuah akaun pelanggan sebuah firma guaman. Gambar: AFP
Kerajaan sedang berusaha untuk menyekat PetroSaudi dan Tarek Obaid daripada menggunakan duit berkait 1MDB yang disimpan dalam sebuah akaun pelanggan sebuah firma guaman. Gambar: AFP

Pendengaran permohonan kerajaan untuk menyekat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan pengarahnya Tarek Obaid daripada menggunakan lebih AS$340 juta yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di United Kingdom (UK) ditangguhkan.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh menangguhkan pendengaran hari ini untuk memberi laluan kepada firma guaman, Clyde & Co LLP di United Kingdom mengesahkan sama ada mereka mahu menjawab dan mengemukakan afidavit berhubung dokumen yang disampaikan kepada mereka, atau sebaliknya.

Ia selepas timbalan pendakwa raya Budiman Lutfi Mohamed memberitahu hakim Ahmad Shahir pihak pendakwaan telah menyampaikan dokumen berkenaan kepada tiga entiti asing yang disebut dalam permohonan itu, yakni Petrosaudi International Limited di Arab Saudi serta dua syarikat yang berpangkalan di London, yakni Clyde & Co dan Temple Fiduciary Services Ltd.

“Kami telah menghubungi wakil National Crime Agency (NCA), Danial Murphy dan beliau mengesahkan bahawa kerajaan UK telah menyerahkan dokumen berkenaan kepada Clyde & Co pada 1 Oktober.

“Beliau turut menyampaikan pesanan mahkamah kepada Clyde & Co, bertanya sama ada syarikat itu berhasrat untuk memberikan maklum balas, tetapi sehingga kini kami belum menerima apa-apa jawapan dari mereka,” kata Budiman semasa prosiding hari ini.

Budiman berkata syarikat itu telah mememaklumkan bahawa dokumen berkenaan telah diserahkan kepada mereka dan diterima oleh wakilnya, Sarah Wheatly.

“Setelah berbincang dengan pihak yang berkaitan dan demi keadilan, mungkin Clyde & Co perlu diberi waktu untuk memberikan maklum balas kepada permohonan itu, dan pihak pendakwaan akan berkomunikasi dengan NCA bagi mendapatkan maklumat terkini dari firma guaman,” katanya.

Peguam Alex Tan dan Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili anak syarikat PSI dari Amerika Selatan, PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Ltd (PSOS-VZ) dan Tarek Obaid, masing-masing, tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.

Ahmad Shahrir kemudiannya menetapkan 22 Ogos sebagai tarikh pengurusan kes bagi pihak pendakwaan mengemas kini perkembangan berhubung maklum balas Clyde & Co’s.

Pada 16 Julai tahun lepas mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk perintah interim bagi menyekat pihak berkenaan daripada memindahkan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dan disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di UK, ke entiti lain.

Perintah interim itu bagi mengekalkan status quo pihak-pihak terlibat sehingga selesai permohonan sekatan kerajaan yang memohon perintah untuk menyekat sebarang urusan mengenai wang milik PSI dan PSOS-VZ yang kini berada di akaun escrow yang dipegang oleh Clyde & Co LLP di UK.

Selain AS$340 juta itu, kerajaan juga memohon wang tidak ditentukan yang disimpan di bawah nama akaun perantaraan, Temple Fiduciary Services Limited, di Barclays Bank, UK.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amlatfpuaa) yang menamakan Tarek, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary, masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) yang menamakan Tarek, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary, masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima.