Monday, October 18, 2021

Fat Leonard, anak Pulau Pinang elak hukuman mati dan menyimpan rahsia peluru berpandu AS

Membesar dalam dunia rasuah pelabuhan Pulau Pinang pada tahun 1960-an, dia belajar muslihat untuk menyusup ke dalam Angkatan Tentera Laut AS melalui pesta seks dan hadiah haram.

Other News

Berdekad lamanya, perisik berusaha sedaya upaya bahkan menggunakan pelbagai teknologi tinggi bagi mencuri maklumat rahsia ketenteraan dari negara-negara yang dilihat sebagai musuh mereka.

Namun, bagi seorang pemuda dari Malaysia, mendapatkan akses kepada rahsia ketenteraan Amerika Syarikat (AS) adalah perkara mudah dengan pemberian haram dan pesta seks.

Dengan menyusup ke dalam lingkaran pegawai atasan tentera, Leonard Glenn Francis yang memiliki berat 300 pound atau lebih dikenali sebagai Fat Leonard mampu “menggerakkan kapal pembawa senjata seperti perahu kertas di dalam air”, meminjam kata-katanya dalam sebuah podcast baru-baru ini bersama wartawan Wall Street Journal, Tom Wright .

Francis memulakan kerjayanya untuk merosakkan pegawai tentera AS ketika diundang ke sebuah keraian pada 4 Julai yang diadakan oleh kedutaan AS di Malaysia di mana dia bertemu dengan pegawai atasan tentera.

Tidak lama kemudian, dia menerima kontrak pertamanya untuk membekalkan makanan untuk USS San Bernardino, sebuah kapal pendaratan tangki yang menyaksikan aksi dalam Perang Vietnam.

Namun sebelum penglibatannya dengan Angkatan Laut AS, dia menjalani kehidupan bermasalah ketika masih muda.

Dalam podcast itu, dia menjelaskan bagaimana kurang bimbingan daripada ibu bapanya menyebabkannya menghadapi masalah ketika polis menemui pistol, mata wang asing, dan baju kalis peluru di rumahnya.

Kemudian dia dimasukkan ke dalam penjara, di mana dia mendakwa melihat tahanan lain diseksa.

Setelah dua minggu, dia dibawa ke mahkamah di mana dia menghadapi hukuman mati.

Ibunya datang dari England untuk membuat rayuan di hadapan hakim.

Dia juga turut membicarakan tentang bagaimana membesar di Pulau Pinang pada tahun 1960-an.

Menurutnya, dia belajar helah kotor perniagaan pelabuhan dengan memberikan rasuah kepada kapten-kapten kapal.

Di sana juga Francis mengasah taktik helahnya itu untuk menarik perhatian pegawai tentera laut dan memenangi pelbagai kontrak melalui syarikatnya yang berpangkalan di Singapura, Glenn Defense Marine Asia.

Ketika ini, dia menjalani tahanan rumah di San Diego.

Pada 2015, Francis mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah dan penipuan.

Sejumlah pegawai tentera laut lain juga disiasat dan mengaku bersalah atas penglibatan mereka dalam akiviti rasuah selain memberikan maklumat terperinci kepada Leonard termasuk pergerakan kapal, perincian kapal selam dan beberapa rancangan peluru berpandu balistik.

Dia mengumpul kekayaannya di sebalik “Perang Selamanya” yang dimulakan Amerika dan perang melawan keganasan negara itu apabila perbelanjaan ketenteraannya meningkat sehingga membolehkan kebocoran lebih besar dalam ekosistem yang rosak.

“Anda tak perlu minta mereka bayar lebih, mereka akan berikan duit secara percuma saja. Sekiranya anda dapat kontrak pertahanan, anda akan dapat makan seumur hidup.

“Angkatan tentera secara keseluruhannya, sama ada tentera laut, tentera darat, tentera udara, atau setiap bahagian – tidak ada sesiapa pun yang melakukan pemantauan fiskalnya kerana itu bukan duit mereka. Ia duit Uncle Sam,” katanya dalam podcast bersama Wright.

Tentera Laut AS, terutama Armada Ketujuh yang beroperasi di Pasifik m bergantung kepada syarikat Francis untuk membekalkan makanan, bahan bakar dan keselamatan.

Hubungan dan jaringannya dengan pihak berkuasa di Asia Tenggara adalah kunci kejayaan perniagaannya dengan Angkatan Laut AS.

Armada Ketujuh mengawasi pergerakan 60 kapal dan kapal selam, 150 pesawat dan 20,000 pelayar.

Francis bekerjasama dengan sebuah syarikat Indonesia bagi menyediakan bekalan kepada Angkatan Laut AS yang mula mengunjungi Bali apabila Subic Bay di Filipina ditutup.

“Ketika kapal-kapal kembali pada waktu itu, kami memperoleh keuntungan yang sangat baik daripada lawatan kapal ke pelabuhan. Semuanya kami sediakan untuk mereka, daripada makanan, bahan bakar, pengangkutan, hingga pasukan perlindungan,” katanya, sambil menambah untuk tujuan itu dia juga perlu memberikan rasuah kepada ahli politik dan pihak berkuasa tempatan.

Antara 2006 dan 2013, beberapa pegawai pesawat bagi USS Blue Ridge disogok dengan makanan, parti, minuman keras, wang tunai, percutian, curut Cuba, perabot dan jam tangan mewah selain pelacur.

Francis, yang kini sedang menunggu hukumannya, mengakui bahawa dia memiliki nama-nama pegawai atasan “dalam sakunya” selain jaringan pemberi maklumat.

Pegawai kanan yang terlibat termasuk bekas komander Edmond A Aruffo dan bekas pengarah operasi perisikan tentera laut Bruce Franklin Loveless.

Bruce juga mengaku meletakkan harga berlebihan kepada tentera laut hingga AS$2.5 juta bagi perkhidmatan pelabuhan di Jepun.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles