Monday, October 18, 2021

KKM tandatangani perjanjian pembelian 150,000 pakej pil anti Covid-19

Pembelian pil Malnupiravir keluaran Merck itu adalah satu langkah kerajaan menangani rawatan Covid-19 menggunakan ubat inovatif baru.

Other News

Kementerian kesihatan (KKM) hari ini menandatangani surat akujanji pembelian 150,000 pakej ubat antiviral Molnupiravir dengan Merck Sharp & Dohme bagi merawat pesakit Covid-19.

Dalam sebuah kenyataan, menteri Khairy Jamaluddin berkata keputusan tersebut dibuat sebagai persediaan memulakan peralihan ke fasa endemik untuk hidup bersama virus Covid-19 dengan menambah pilihan rawatan inovatif baru bagi melawan Covid-19.

“Kajian yang dijalankan oleh Merck Sharp & Dohme mendapati Molnupiravir menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50% selain turut berkesan ke atas varian-varian virus Covid-19 yang lebih ganas seperti Gamma, Delta dan Mu,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy mengingatkan sekalipun ubat Molnupiravir berkesan merawat Covid-19, ia tidak bermakna vaksin tidak diperlukan lagi.

“Fungsi vaksin adalah untuk mengurangkan jangkitan dan mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk.

“Ubat Molnupiravir tidak boleh mencegah jangkitan. Ia hanya bermanfaat kepada yang sudah dijangkiti. Kita memerlukan kedua-dua kaedah untuk menurunkan beban penyakit Covid-19, sekaligus memberikan impak yang lebih besar dalam usaha pencegahan dan kawalan penularan jangkitan virus Covid-19,” katanya.

Banyak negara Asia berusaha untuk mendapatkan bekalan rawatan berpotensi itu lebih awal setelah mereka ketinggalan daripada negara-negara Barat dalam program vaksinasi Covid-19 yang terganggu akibat kekurangan bekalan.

Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia mengatakan mereka sedang melakukan perbincangan untuk membeli ubatan keluaran Merck tersebut yang dikatakan berpotensi merawat Covid-19, sementara Filipina, yang kini menjalankan rawatan percubaan bagi pil tersebut berkata kajian domestiknya akan dapat membuka akses bagi rawatan jangkitan wabak tersebut.

Semalam, Singapura juga turut mengumumkan telah bersetuju untuk mendapatkan akses kepada Malnupiravir dalam usahanya menangani jangkitan tersebut terhadap pesakit Covid-19.

“KKM akan terus memantau perkembangan pembangunan ubat-ubatan berkaitan rawatan pesakit Covid-19 di seluruh dunia untuk memastikan negara kita tidak ketinggalan untuk mendapatkan rawatan terbaik kepada penduduk Malaysia,” kata Khairy.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles