- Iklan -
Berita

Bersatu gugur keahlian Adun Telok Mas

Bersatu kecewa dengan tindakan empat Adun yang menarik sokongan terhadap ketua menteri Melaka sehingga membawa kepada pembubaran DUN.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Adun Telok Mas Noor Effandi Ahmad (dua dari kiri) bersama tiga Adun lain dalam sidang media menarik  sokongan terhadap ketua menteri Melaka. Gambar: Facebook
Adun Telok Mas Noor Effandi Ahmad (dua dari kiri) bersama tiga Adun lain dalam sidang media menarik sokongan terhadap ketua menteri Melaka. Gambar: Facebook

Biro Politik Bersatu membuat ketetapan menggugurkan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Noor Effandi Ahmad serta-merta mengikut Fasal 10 perlembagaan parti itu.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata ketetapan itu akan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti akan datang.

Beliau berkata Biro Politik Bersatu juga melahirkan rasa amat kecewa dengan tindakan empat Adun yang menarik sokongan terhadap ketua menteri Melaka sehingga membawa kepada pembubaran DUN ketika rakyat berdepan ancaman pandemik Covid-19.

“Biro Politik Bersatu berpendapat bahawa kemelut politik ini berpunca daripada masalah dalaman parti politik tertentu dan ia bertambah parah apabila terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan tanpa memikirkan kebajikan rakyat serta kepentingan negara ketika ini yang masih di peringkat awal proses pemulihan,” menurutnya dalam kenyataan.

Hamzah juga berkata Biro Politik Bersatu mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan perkembangan politik terkini di Melaka.

Menurut kenyataan itu, Biro Politik Bersatu turut berpendirian kemelut politik di Melaka perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan negeri berkenaan dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

Selain Noor Effandi, Adun yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman Md Ali pada Isnin lepas ialah Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 dan satu Pilihan Raya Negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran itu.

Speaker DUN Melaka Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober setelah dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam.