- Iklan -
Berita

Ahmad Maslan batal calonkan diri sebagai timbalan speaker

Penarikan dirinya diumum selepas Perikatan Nasional berkata tidak menyokong penambahan jawatan timbalan speaker ketiga.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan.
Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan.

Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan hari ini menarik diri daripada pencalonan sebagai timbalan speaker, lapor Bernama hari ini selepas beberapa jam Perikatan Nasional (PN) berkata ia tidak setuju sebarang pindaan Perlembagaan bagi menambah jawatan tersebut di Dewan Rakyat.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan beberapa pimpinan Umno yang bersekutu dengan Najib Razak sedang berusaha mencalonkan Ahmad menduduki jawatan timbalan speaker bagi menggantikan Azalina Othman Said yang meletak jawatan tersebut pada Ogos.

Ahmad sendiri berkata beliau bersetuju untuk pencalonan tersebut disokong Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz yang mengatakan ahli Parlimen Pontian akan menjadi calon blok kerajaan bagi menduduki jawatan timbalan speaker di Dewan Rakyat.

Namun kebimbangan turut disuarakan mengenai peluangnya dalam mengumpul sokongan ahli Parlimen kerajaan terutama dari PN.

Sebelum ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dengan jelas berkata gabungan tersebut tidak akan menyokong individu yang berdepan pertuduhan jenayah bagi sebarang jawatan pentadbiran kerajaan.

Walaupun baru-baru ini Ahmad dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang, MalaysiaNow melaporkan awal bulan ini enam parti dalam PN memutuskan untuk tidak menyokong rancangan Umno untuk mencalonkan beliau bagi jawatan tersebut.