- Iklan -
Berita

Umno belum putuskan kerjasama parti hadapi PRN Melaka, kata timbalan presiden

Mohamad Hasan berkata apa yang penting ketika ini adalah Umno mesti bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada PRN berkenaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan.
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan.

Umno masih belum memutuskan sama ada bekerjasama dengan mana-mana parti atau bertanding bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Timbalan Presidennya Mohamad Hasan.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno, berkata apa yang penting ketika ini adalah parti itu mesti bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada PRN berkenaan.

“Jangan kita harapkan bantuan luar untuk kita menang. Mesti bina kekuatan dalaman sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera Umno Melaka malam ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Ditanya mengenai kesediaan Perikatan Nasional (PN) Melaka untuk berunding dengan Umno bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRN tersebut, Mohamad berkata ia terpulang kepada Umno Melaka.

“Itu terpulang kepada Umno Melaka dan (Umno) Melaka akan cadang kepada (Umno) pusat sebab Melaka tak boleh buat keputusan sendiri. Mesti dapat kelulusan, mesti dapat sanction dari pusat. Kalau pusat kata ‘okay’ maka bolehlah (untuk bekerjasama dengan PN Melaka),” katanya.

Beliau berkata jentera parti di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) telah diarah untuk mengadakan gerak kerja mulai esok bagi menghadapi PRN Melaka.

Dalam pada itu, Mohamad berkata keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang Idris Haron dan Adun Pantai Kundur Noor Azman Hassan terlucut dengan sendirinya selepas berada sepentas bersama pembangkang.

Beliau berkata perkara itu termaktub dalam pindaan perlembagaan parti yang dibuat pada Perhimpunan Agung Umno tahun lepas.

Sementara itu, Ahmad berkata surat pemakluman mengenai pengguguran keahlian akan diserahkan kepada Idris dan Noor Azman dalam masa terdekat.

Ab Rauf yang juga Speaker DUN Melaka semalam mengumumkan Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka pada 4 Oktober.