- Iklan -
Berita

Laporan: Beberapa firma terlibat skandal di Rusia, India main peranan dalam penyelewengan 1MDB

Kaitan antara 1MDB dan beberapa skandal berprofil tinggi di Rusia ditemui melalui beberapa dokumen melibatkan Aleman, Cordero, Galindo & Lee (Algocal), sebuah firma perundangan Panama.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Dua dana luar pesisir melibatkan skandal berprofil tinggi di India dan Rusia dikatakan turut terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB. Gambar: AFP
Dua dana luar pesisir melibatkan skandal berprofil tinggi di India dan Rusia dikatakan turut terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB. Gambar: AFP

Siasatan terhadap dokumen bocor yang menunjukkan dana-dana di bawah beberapa nama individu ternama di seluruh dunia mendapati dua dana luar pesisir melibatkan kes penipuan berprofil tinggi di India dan Rusia turut terbabit dalam penyelewengan dana 1MDB, lapor Malaysiakini.

Laman sesawang berita itu yang sebelum ini menamakan beberapa ahli politik dan ahli perniagaan Malaysia dalam pendedahan Pandora Papers berkata, dua dana pelaburan yang berpangkalan di Curacao, sebuah tempar perlindungan kewangan luar pesisir di Caribbean turut terlibat dalam pemindahan dana diseleweng dari 1MDB berjumlah sekitar RM1.5 bilion (AS$455 juta) antara 2012 dan 2013.

Menurutnya, dana-dana tersebut diselewengkan dari bon-bon kerajaan pada 2012 kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh sekutu Low Taek Jho atau Jho Low, ahli perniagaan Malaysia dalam buruan yang penglibatannya dicatat dalam dokumen pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Selain itu sebanyak AS$1.59 bilion (RM5.3 bilion) diseleweng daripada beberapa bon yang dikumpul dengan bank pelaburan Goldman Sachs pada 2013.

Jabatan Keadilan (DoJ) AS juga berkata sebahagian wang daripada bon-bon tersebut dimasukkan ke akaun bank peribadi bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib ketika ini sedang merayu terhadap sabitan beberapa pertuduhan berkait dana sekitar RM42 juta dari SRC International yang mempunyai kaitan dengan 1MDB, sebuah syarikat yang diketuainya sebagai menteri kewangan.

Malaysiakini melaporkan kaitan antara 1MDB dan beberapa skandal berprofil tinggi di Rusia ditemui melalui beberapa dokumen melibatkan Aleman, Cordero, Galindo & Lee (Algocal), sebuah firma perundangan Panama.

Laporan tersebut juga mengatakan dua dana berpangkalan di Curacao yang memindahkan wang-wang dari 1MDB iaitu Enterprise Emerging Markets Fund (EMMF) dan Cistenique Investment Fund terlibat dalam beberapa skandal kewangan utama di Rusia dan India antara 2009 dan 2015.

Menurutnya, EMMF dan Cistenique di mana kedua-duanya memiliki pegangan saham dalam bank Rusia Venshprombank mempunyai kaitan dengan penyelewengan AS$2 bilion sehingga menyebabkan penutupan bank tersebut ekoran skandal di mana pinjaman wang diberikan kepada syarikat-syarikat proksi luar pesisir.

Dalam pada itu, EEMF turut dinamakan kerana penglibatannya dalam beberapa kes pengubahan wang dan skandal rasuah membabitkan peniaga barangan kemas India.

Malaysiakini turut melaporkan ketika DoJ tidak menamakan dua dana tersebut dalam pendedahan skandal 1MDB, kedua-duanya dilaporkan sedang menjalani pencairan aset “tanpa sebarang petunjuk sama ada hasil yang dibuat melalui skandal 1MDB dapat diperolehi semula.”