- Iklan -
Berita

Kemahiran keusahawanan lebih penting berbanding pegangan 51% Bumiputera dalam syarikat logistik

Pakar berkata kebimbangan ketika ini adalah jika dasar tersebut dilaksanakan tanpa menitikberatkan implikasi jangka panjang terhadap syarikat yang terlibat.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Kementerian kewangan melanjutkan tempoh kuat kuasa syarat pemilikan ekuiti tersebut sehingga Disember 2022 supaya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dapat meneliti penyertaan Bumiputera dalam industri logistik dengan lebih lanjut.
Kementerian kewangan melanjutkan tempoh kuat kuasa syarat pemilikan ekuiti tersebut sehingga Disember 2022 supaya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dapat meneliti penyertaan Bumiputera dalam industri logistik dengan lebih lanjut.

Kerajaan perlu menumpukan kepada membina kemahiran keusahawanan dalam kalangan Bumiputera berbanding menetapkan syarat pemilikan 51% ekuiti dalam syarikat logistik, kata seorang ahli ekonomi.

Ahli Ekonomi Sunway University Yeah Kim Leng berkata, ini membolehkan golongan Bumiputera untuk membangunkan syarikat sendiri serta lebih memahami keadaan pasaran yang kini semakin berdaya saing.

Yeah turut meluahkan kebimbangannya sekiranya dasar tersebut dilaksanakan tanpa menitikberatkan implikasi jangka panjang terhadap syarikat yang terlibat.

“Untuk melibatkan diri secara langsung, kita perlu mempunyai kepakaran atau pengalaman dalam industri supaya dapat menyumbang kepada syarikat demi memastikan ia terus berkembang dan kekal berdaya saing pada masa hadapan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jika dasar ini diterjemahkan sebagai proses pengambilan secara paksa, mungkin ini akan menimbulkan konflik pengurusan dalam syarikat itu sendiri yang mana ia berpotensi mengganggu proses pertumbuhan syarikat.”

Pada 2018, Najib Razak yang merupakan perdana menteri pada ketika itu mengumumkan semakan syarat ekuiti Bumiputera untuk syarikat logistik dengan kajian semula akan dilakukan pada 2020.

Pada Januari Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata semua pemegang lesen broker berdaftar dengan kastam perlu mematuhi syarat pemilikan Bumiputera, namun tidak memperincikan jumlah sebenar.

Ini mendorong Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) pada 18 September menggesa kerajaan supaya menjelaskan pendirian berhubung pegangan ekuiti 51% Bumiputera dalam syarikat logistik yang dilaporkan akan berkuat kuasa menjelang akhir tahun ini.

Bagaimanapun pada 28 September Zafrul memaklumkan Dewan Rakyat kementerian kewangan melanjutkan tempoh kuat kuasa syarat tersebut sehingga Disember 2022 supaya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dapat meneliti penyertaan Bumiputera dalam industri logistik dengan lebih lanjut.

Sementara Ahmed Razman Abdul Latiff dari UPM berkata pemilikan 51% ekuti syarikat logistik tidak melambangkan keupayaan Bumiputera dalam industri tersebut.

Razman berkata walaupun niat disebalik cadangan pelaksanaan dasar itu dilihat sebagai satu perkara yang baik untuk golongan Bumiputera, namun ia dibimbangi hanya akan menguntungkan golongan tertentu sahaja.

“Pertama sekali kita perlu faham kenapa (kerajaan) ingin lakukan dasar ini, kerana ia untuk tingkatkan keupayaan Bumiputera untuk memiliki harta atau aset berbentuk ekuiti.

“Bagaimanapun, kita perlu faham bahawa untuk menaik taraf Bumiputera, ia bukanlah semata-mata melalui peratusan ekuiti sahaja,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, setiap syarikat mempunyai nilainya tersendiri di pasaran dan ini tidak boleh dibandingkan secara sama rata menerusi pengagihan ekuiti dengan kadar peratusan yang sama.

“Sebagai contoh, sekiranya individu tersebut memiliki 51% pegangan ekuiti syarikat bernilai RM1.1 juta, maknanya individu itu akan memiliki nilai RM500,000. Tetapi syarikat yang nilainya RM1.1 bilion, maka individu itu akan memiliki RM500 juta.

“Justeru, perlu tengok kepada nilai ekuiti. Peratusan tidak melambangkan keupayaan bumiputera dalam industri,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Yeah berkata, apabila berlaku konflik pengurusan, penentuan keputusan kebiasaannya akan berpihak kepada pemegang saham majoriti dan isu ini sering dapat dilihat menerusi syarikat usaha sama (JV).

“Perkara yang paling dikhuatiri adalah pemilik syarikat yang pegangannya semakin berkurang, akan melepaskan pegangan sahamnya dan memulakan perniagaan baru menggunakan sumber perniagaannya.

“Ini boleh menyebabkan nilai syarikat itu menjunam, dan akhirnya matlamat asal pelaksanaan dasar itu tidak akan tercapai,” tambahnya.

Dalam pada itu, keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa pelaksanaan dasar itu turut disambut baik Yeah dan Razman kerana ia memberi ruang kepada kerajaan untuk meneliti dasar itu dengan lebih mendalam.