- Iklan -
Berita

5 ditahan edar, seludup dadah melalui syarikat kurier Singapura

Bungkusan berisi dadah dihantar ke Singapura dan Eropah bersama barangan sah lain.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Abdul Aziz Abdul Majid di sidang media hari ini di Kajang. Gambar: Bernama
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Abdul Aziz Abdul Majid di sidang media hari ini di Kajang. Gambar: Bernama

Polis Diraja Malaysia menahan empat wanita dan seorang lelaki tempatan kerana disyaki terlibat sindiket pengedaran dan penyeludupan antarabangsa pelbagai jenis dadah, yang dianggarkan bernilai RM4.9 juta dalam beberapa serbuan di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Abdul Aziz Abdul Majid (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) berkata serbuan dilakukan pada 24 September hingga 28 September lepas hasil perkongsian maklumat dan kerjasama dengan pihak Biro Narkotik Pusat Singapura.

Beliau berkata kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 71 tahun dan polis turut merampas tiga buah kenderaan masing-masing jenis Toyota Vellfire, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan Honda City bernilai RM250,000.

“Dalam serbuan berkenaan, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.9 juta termasuk syabu seberat 5.8kg, ketamin seberat 14.8kg, Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) jenis cecair (30.1 liter), MDMA jenis serbuk 34.3kg dan kafein 2.2kg.

“Berdasarkan rampasan itu, kami juga percaya ada kegiatan memproses dadah di sebuah gudang di sini (Kajang) tapi perkara ini masih disiasat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kajang.

Aziz berkata sindiket ini menjalankan kegiatan penyeludupan dadah untuk pasaran antarabangsa dengan menggunakan perkhidmatan syarikat kurier di Singapura, untuk menghantar bungkusan berisi dadah ke Singapura dan negara-negara Eropah melalui Singapura, dengan mengisytiharkan bungkusan tersebut mengandungi barang-barang sah.

Beliau berkata sejumlah RM426,926 wang turut disita daripada 11 akaun bank dan nilai keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta bernilai RM5.6 juta.

Menurutnya sindiket ini dipercayai mula bergiat aktif sejak awal tahun ini, selain turut mengedar dadah tersebut untuk bekalan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Pihak polis juga masih mengesan beberapa individu yang telah dikenal pasti dan dalang yang masih bebas. Siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian air kencing mereka juga negatif dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama 12 hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.