Monday, October 18, 2021

Ramai pelancong ke Langkawi secara persendirian, guna khidmat tidak berlesen

Motac menasihatkan pengusaha sektor pelancongan tidak berlesen untuk memohon lesen dengan kementerian itu bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan dikenakan.

Other News

Soal selidik pemantauan pasukan penguatkuasaan kementerian pelancongan, seni dan budaya (Motac) mendapati sebahagian besar pelancong cenderung melakukan lawatan ke Langkawi secara persendirian selain menggunakan khidmat pengusaha pelancongan yang tidak berlesen dan tidak berdaftar.

Soal selidik pemantauan itu adalah bagi melihat sejauh mana Tour Operating Business & Travel Agency Business (Tobtab) patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di samping mendapatkan reaksi orang ramai yang melancong dalam suasana norma baru.

“Pasukan penguatkuasaan Motac menjalankan pemantauan terhadap aktiviti pelancongan domestik di Pulau Langkawi selama tiga hari bermula pada 1 hingga 3 Oktober 2021.

“Pemantauan diadakan di laluan pintu masuk laut dan udara ke Langkawi dan tempat-tempat yang menjadi tumpuan pelancong,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Motac, antara lokasi yang dijalankan pemantauan adalah di sekitar Kilim Geoforest Park, Tanjung Rhu, Langkawi SkyCab, Langkawi Wildlife Park, Pantai Cenang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Terminal Jeti Kuah Langkawi.

“Pasukan penguatkuasa turut meninjau premis-premis pelancongan bagi melihat perkembangan terkini perniagaan yang dijalankan serta turut memaklumkan kemudahan-kemudahan dan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan melalui Motac sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).”

Motac turut menasihatkan pengusaha-pengusaha yang tidak berlesen untuk memohon lesen dengan Motac bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan dikenakan.

Projek rintis gelembung pelancongan Langkawi dilaksanakan bermula 16 September lalu.

Menurut Lembanga Pembangnan Langkawi (Lada) setakat 30 September, Langkawi menerima seramai 38,748 pelancong secara keseluruhan iaitu melebihi daripada jumpah sasaran sekitar 30,000 orang.

Semalam 149 pelawat dari luar pulau didapati positif Covid-19 ketika disaring di pintu masuk Langkawi.

Menurut Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah penularan jangkitan di pulau itu masih terkawal.

Beliau berkata kementerian kesihatan, Jabatan Kesihatan Kedah dan Pejabat Kesihatan Langkawi akan terus memantau perkembangan penularan jangkitan Covid-19 seterusnya memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles