- Iklan -
Berita

PRN Melaka akan diadakan dalam masa 60 hari, kata SPR

SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya tersebut.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya negeri Melaka. Gambar: Bernama
Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya negeri Melaka. Gambar: Bernama

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menerima pemakluman rasmi daripada speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, mengatakan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada pembubaran tersebut.

“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari pada tarikh pembubaran DUN itu,” kata Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya tersebut.

“Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh SPR.”

Terdahulu, Pejabat Speaker hari ini mengumumkan DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa semalam ekoran empat Adun menarik sokongan mereka terhadap ketua menteri.

Dalam kenyataannya, Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali dikatakan sudah menyerahkan surat kepada Yang di-Pertua Melaka Mohd Ali Rustam bagi memaklumkan tindakan empat Adun yang menarik sokongan terhadapnya.

Sulaiman juga meminta perkenan Ali untuk membubarkan DUN Melaka.

“Sehubungan itu, Yang di-Pertua Melaka Mohd Ali Rustam membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas pada 4 Oktober 2021 (Isnin),” katanya.

Empat Adun itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Semalam dalam sebuah sidang media, empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka mengumumkan mereka hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

Kerajaan Melaka diketuai Barisan Nasional yang mewakili majoriti dengan 17 Adun, terdiri dari 14 dari Umno, dan dua dari Bersatu selain seorang Adun bebas mesra BN.

Sementara pembangkang memiliki 11 kerusi: tujuh dari DAP, dan dua masing-masing dari PKR dan Amanah.