- Iklan -
Berita

PM ambil maklum kebimbangan rakyat berhubung Covid-19 jika PRN diadakan

Ismail dihujani rungutan orang ramai yang menyatakan kebimbangan tercetus gelombang baru Covid-19 jika pilihan raya diadakan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau mengambil maklum kebimbangan rakyat berhubung risiko penularan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan.

Semasa ditemui media selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 hari ini, Ismail berkata ekoran perkembangan politik di Melaka, media sosialnya telah dihujani dengan pelbagai pandangan daripada orang ramai yang bimbang akan berlaku peningkatan kes seperti yang berlaku pada PRN Sabah lepas.

“Di Sabah dahulu kes telah rendah tetapi apabila diadakan PRN, akhirnya kes meningkat semula dan ini perkara yang ramai bimbang.

“Jika (PRN Melaka) diadakan, saya percaya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) akan adakan SOP (prosedur operasi standard) ketat untuk pastikan kawalan dapat dibuat,” katanya mengulas situasi di Melaka serta meminta menunggu keputusan Yang di-Pertua Melaka Mohd Ali Rustam.

Semalam, empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka mengumumkan mereka hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Perkembangan tersebut merisikokan kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) sekarang tumbang.

Empat Adun itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas)

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi dipegang BN, Bersatu (dua), DAP (tujuh), PKR (dua), Amanah (dua) dan Bebas (satu).

Sementara itu, Ismail yang juga naib presiden Umno berkata beliau menyerahkan kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk mencari penyelesaian berhubung isu di Melaka itu kerana ia turut melibatkan isu parti.