- Iklan -
Berita

Pembelaan mahu buktikan Rizal dalang sebenar, Rosmah jadi kambing hitam

Menurut peguam pembelaan, pendakwaan ke atas Rosmah Mansor adalah suatu pendakwaan terpilih.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Pembelaan dalam kes rasuah Rosmah Mansor akan membuktikan isteri bekas perdana menteri itu dijadikan kambing hitam dalam kes projek solar hibrid membabitkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak, sedangkan bekas pembantunya Rizal Mansor merupakan dalang sebenar kes projek solar berkenaan.

Peguam Akberdin Abdul Kader yang membacakan pernyataan pembukaan kes di Mahkamah Tinggi hari ini berkata pendakwaan ke atas anak guamnya adalah suatu pendakwaan terpilih.

Beliau berkata ia juga berniat jahat dan mala fide kerana individu yang bertanggungjawab dan dalang dalam kes itu, yang meminta dan menerima wang seperti yang dinyatakan dalam tiga pertuduhan tersebut adalah Rizal.

“Tindakan pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan terhadap Rizal dan kemudian memilihnya sebagai saksi pendakwaan ke-21, jelas menunjukkan bahawa satu perjanjian telah dibuat dengan Rizal.

“… dan Rizal selaku saksi utama terpaksa memberi keterangan palsu di mahkamah untuk memerangkap dan mengaitkan anak guam saya dengan tiga pertuduhan itu,” kata Akberdin pada hari pertama prosiding pembelaan diri Rosmah bagi tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Akberdin berkata sekiranya Rizal tidak berkerjasama dengan pihak pendakwaan untuk menuduh Rosmah dengan keterangan palsu, maka pendakwaan akan meneruskan dakwaan ke atas Rizal dengan pertuduhan-pertuduhan baru.

Beliau berkata Rizal pada awalnya turut didakwa bersama-sama Rosmah telah mempergunakan kedudukannya dan menggunakan nama anak guamnya sehingga kebanyakan tindak-tanduknya adalah di luar pengetahuan Rosmah, demi mencapai kehendak dan matlamat peribadi dan politik Rizal, tanpa pengetahuan Rosmah.

Pada 18 Feb lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sementara itu, Akberdin berkata Rosmah juga dijadikan kambing hitam oleh pihak-pihak lain yang tidak kompeten dalam pentadbiran kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan ketika itu yang bersekongkol dengan pihak Jepak Holdings Sdn Bhd.

“Anak guam saya juga menegaskan bahawa terdapat pihak-pihak lain yang telah menjual nama beliau  bagi kepentingan peribadi dan kepentingan politik masing-masing.

“Sebelum pendakwaan dilakukan ke atas Rosmah, tidak wujud sebarang laporan daripada mana-mana pihak khususnya Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin dan ahli perniagaan Rayyan Radzwill Abdullah kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa tertuduh menerima atau meminta rasuah,” katanya.

Akberdin berkata Rosmah juga tidak pernah mengenali Saidi atau Rayyan secara peribadi dan pertemuan antara mereka tidak pernah ada dalam pengetahuan atau rancangan Rosmah, sebaliknya diatur oleh Rizal yang merupakan dalang sebenar kes ini.

“Rosmah tidak pernah terlibat di dalam urusan meminta peratusan wang suapan berjumlah RM187.5 juta iaitu 15% dari nilai kontrak daripada Saidi, baik secara sendiri atau melalui Rizal.

“Beliau juga tidak pernah mempunyai pengetahuan bahawa Rizal telah meminta peratusan wang suapan daripada Saidi sebanyak 10, 12 atau 15% di Lygon Café, Sunway Putra Mall, yang kononnya bagi pihak dirinya,” kata peguam itu yang turut memaklumkan anak guamnya juga tidak pernah menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi bagi membantu Jepak mendapatkan projek solar secara rundingan terus.

Akberdin berkata Rosmah tidak pernah mengarahkan Rizal untuk mengaturkan perjumpaan dengan Saidi dan Rayyan di rumahnya di Langgak Duta pada 7 September 2017 dan perjumpaan itu di luar pengetahuan tertuduh.

“Perjumpaan itu berlangsung kurang daripada lima minit dan Rosmah ketika itu sedang berpakaian sukan, tercungap-cungap selepas bersenam. Ini menunjukkan perjumpaan itu berlaku secara spontan, tidak dirancang dan secara tiba-tiba,” katanya.

Akberdin berkata pembelaan juga ingin menegaskan bahawa Rosmah tidak pernah menjangka kehadiran Rayyan dan Saidi dengan indikasi tempoh singkat perbualan selama kurang daripada lima minit serta keadaan Rosmah yang sedang berpakaian sukan tersebut.

Peguam itu berkata anak guamnya akan menyangkal dakwaan dua beg bagasi yang kononnya mengandungi RM5 juta yang telah diterima oleh beliau pada 20 Disember 2016 di Seri Perdana adalah tidak benar.

“Bahkan, ia adalah rekaan dan agenda Rizal untuk mengenakan anak guam saya bagi menyelamatkan dirinya sendiri. Beliau juga menafikan sekeras-kerasnya telah mengarahkan Rizal untuk membawa dua beg bagasi yang kononnya mengandungi RM5 juta tersebut kepadanya di Seri Perdana,” katanya.

Rosmah, 69, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi.

Rasuah itu didakwa diterima melalui Rizal sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada kementerian pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah, yang memakai baju kurung merah jambu dan selendang sepadan, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pada 9.56 pagi diringi beberapa pembantunya.