- Iklan -
Berita

Pelukis kartun Nabi Muhammad mati dilanggar trak di Sweden

Lars Vilks mendapat perlindungan polis sejak 2007 selepas penerbitan lukisannya yang menggambarkan Nabi Muhammad bertubuh anjing mencetuskan kemarahan penganut Islam.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Suasan tempat kemalangan melibatkan kenderaan dinaiki Lars Vilks, dan dua anggota polis dengan sebuah trak di bandar Markaryd, Sweden. Gambar: Reuters
Suasan tempat kemalangan melibatkan kenderaan dinaiki Lars Vilks, dan dua anggota polis dengan sebuah trak di bandar Markaryd, Sweden. Gambar: Reuters

Kartunis Sweden Lars Vilks yang berada di bawah perlindungan polis negara itu selepas penerbitan gambaran lukisan Nabi Muhammad pada 2007 sehingga menerima ancaman bunuh meninggal dunia pada Ahad dalam sebuah kemalangan kereta.

Polis Sweden mengesahkan kartunis berusia 75 tahun dan dua polis maut dalam kemalangan melibatkan sebuah trak.

“Ia disiasat seperti kemalangan jalan raya lain. Kerana dua anggota polis terlibat, pasukan penyiasat telah dirujuk ke bahagian khas di pejabat pendakwaraya,” kata jurucakap polis dan menambah tidak ada perkara yang mencurigakan dalam kemalangan tersebut.

Kemalangan tersebut berlaku berhampiran bandar kecil Markaryd ketika kereta dinaiki Vilks melanggar sebuah trak yang datang dari arah depan.

Kedua-dua kenderaan dilaporkan terbakar dan pemandu trak tersebut dimasukkan ke hospital.

Dalam satu kenyataan, polis berkata punca kemalangan tersebut masih disiasat.

“Orang yang kami lindungi dan dua anggota polis meninggal dunia dalam tragedi yang sangat menyedihkan ini,” kata ketua polis Carina Persson.

Vilks berada di bawah perlindungan polis sejak kartun beliau mengenai Muhammad pada 2007 diterbitkan.

Kartun yang digambarkan Nabi Muhammad tubuh seekor anjing tersebut menimbulkan kemarahan penganut Islam di mana mereka menganggap ia adalah satu perkara yang menyinggung perasaan mereka.

Kumpulan militan Al-Qaeda turut menawarkan hadiah sebanyak AS$100,000 bagi sesiapa yang dapat membunuh Vilks.

Kartun Vilks turut mencetuskan pergeseran diplomatik sehingga perdana menteri Sweden ketika itu, Fredrik Reinfeldt terpaksa bertemu dengan duta-duta besar dari beberapa negara Islam untuk meredakan ketegangan.

Pada 2015, Vilks terselamat daripada serangan bersenjata ketika menghadiri persidangan isu kebebasan bersuara di Copenhagen yang menyebabkan seorang pengarah filem Denmark meninggal dunia.