- Iklan -
Berita

Lihat perspektif lebih besar keperluan industri ganja perubatan, kata menteri

Azmin Ali berkata usaha mengembangkan penanaman ganja untuk tujuan perubatan tertakluk undang-undang sedia ada.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Mohamed Azmin Ali ketika di sidang Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Mohamed Azmin Ali ketika di sidang Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama

Kerajaan perlu melihat sudut pandang lebih besar sebelum memutuskan import dan eksport industri ganja perubatan, kata Menteri Perdagangan dan Antarabangsa Mohamed Azmin Ali.

Katanya, kerajaan membentangkan perkara tersebut dalam mesyuarat jemaah menteri, selain mengadakan libat urus dengan pihak akademik dan swasta bagi melihat potensi industri tersebut.

“Ia melibatkan beberapa pindaan akta oleh kementerian kesihatan yang dibentangkan dalam mesyuarat lalu.

“Namun kita harus melihat dengan perspektif yang lebih besar tentang keperluan industri ini diperkembangkan dan ia mesti mengikut lunas undang-undang sedia ada,” katanya ketika menjawab celahan daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) ketika penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Syed Saddiq memaklumkan, kajian dilakukan pihak Universiti Sains Malaysia dan mesyuarat penyelarasan diadakan untuk kegunaan ganja perubatan dalam negara dan eksport ke luar negara.

Terdahulu pada 29 September beliau menggesa kerajaan membentangkan kertas kerja kajian tanaman dan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan seperti mana yang dilakukan beberapa negara lain.

“Kita tak mahu Malaysia ketinggalan lagi dalam perbincangan hal ini hanya kerana ia sensitif, walhal kajian berdasarkan data dan sains menunjukkan arak dan rokok jauh lebih berbahaya daripada industri ini,” katanya pada 29 September di Dewan Rakyat.

Kerajaan Pakatan Harapan pada 2019 mempertimbangkan penanaman ganja bagi tujuan penyelidikan pihak industri.

Bagaimanapun, kebenaran tersebut masih tertakluk di bawah Seksyen 6B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.