- Iklan -
Berita

Kadar sewa merosot meskipun permintaan catat pertumbuhan positif

Kemerosotan pendapatan memaksa pemilik hartanah turunkan harga sewaan elak persaingan sesama sendiri.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara kawasan perumahan di Lembah Klang.
Pemandangan dari udara kawasan perumahan di Lembah Klang.

Pemilik hartanah yang menyewakan kediaman terpaksa menurunkan kadar meskipun permintaan terhadapnya meningkat pada separuh tahun pertama 2021 (H1 2021), menurut data daripada laman sesawang hartanah tempatan, iProperty.

Harga median permintaan sewaan (asking rental price) di Kuala Lumpur menurun 13%, manakala di Selangor, harga permintaan sewaan untuk kondominium dan kediaman servis menurun masing-masing 6 dan 10%.

Di Pulau Pinang, harga median turun RM100 kepada RM1400 manakala di Johor harga median turun sebanyak RM200 kepada RM1,200.

Jurucakap iProperty Premendran Pathmanathan berkata, penurunan itu disebabkan masalah ekonomi yang melanda negara akibat pandemik Covid-19.

“Ramai tuan rumah terpaksa menyerap sebahagian daripada kemerosotan pendapatan dan menurunkan harga sewa unit-unit mereka, memandangkan mereka terpaksa bersaing untuk mencari penyewa yang stabil dari segi kewangan,” katanya pada pembentangan maya mengenai kadar permintaan sewaan hartanah di empat negeri.

Katanya, masalah kewangan yang dihadapi oleh kumpulan demografi tertentu mengakibatkan sebahagian pemilik hartanah sukar mencari penyewa.

Menurut data iProperty, hasil sewa untuk rumah teres merosot kepada 2.9% daripada 3.3% pada H1 2020. manakala hasil sewa untuk kondominium dan pangsapuri berservis masing-masing merosot sebanyak 0.3% dan 0.2%, manakala pangsapuri kekal pada 4.4%.

Bagaimanapun, permintaan terhadap kediaman sewa meningkat 1.9% dalam tempoh sama setelah mengalami pertumbuhan negatif pada H1 2020 sebanyak -5.6%.

Peningkatan itu disumbangkan oleh permintaan ketara terhadap rumah teres dan pangsapuri servis, masing-masing mencatatkan peningkatan 14.1% dan 8.0%.

Trend itu menunjukkan perubahan berbanding H1 2020 yang menyaksikan perumahan jenis kondominium mendapat permintaan sewaan tertinggi.

Dapatan itu mengikuti trend pencarian kediaman mempunyai ruang lebih besar yang dilaporkan sebelum ini.

“Permintaan sewaan rumah teres meningkat di keempat-empat negeri.

“Kecuali di Johor, permintaan kondominium menurun kerana peningkatan penyenaraian unit,” katanya.

Bagi kediaman servis, permintaan sedang meningkat di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang dan terus menurun di Selangor.