- Iklan -
Berita

DUN Melaka dibubarkan

Pembubaran DUN tersebut berkuat kuasa semalam.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
DUN Melaka dibubarkan susulan empat Adun menarik sokongan terhadap ketua menteri negeri itu. Gambar: Bernama
DUN Melaka dibubarkan susulan empat Adun menarik sokongan terhadap ketua menteri negeri itu. Gambar: Bernama

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa semalam, kata speaker.

Dalam sebuah kenyataan, Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali dikatakan sudah menulis kepada Yang di-Pertua Melaka Mohd Ali Rustam bagi memaklumkan tindakan empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menarik sokongan terhadapnya.

Menurut kenyataan itu juga, Sulaiman turut meminta perkenan Ali untuk membubarkan DUN Melaka.

“Sehubungan itu, Yang di-Pertua Melaka Mohd Ali Rustam membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas pada 4 Oktober 2021 (Isnin),” katanya.

Empat Adun itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Semalam dalam sebuah sidang media, empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka mengumumkan mereka hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Kerajaan Melaka diketuai Barisan Nasional yang mewakili majoriti dengan 17 Adun, terdiri dari 14 dari Umno, dan dua dari Bersatu selain seorang Adun bebas mesra BN.

Sementara pembangkang memiliki 11 kerusi: tujuh dari DAP, dan dua masing-masing dari PKR dan Amanah.