Sunday, October 17, 2021

Keterangan saksi buktikan Zahid terima RM21.25 juta daripada beberapa entiti, kata pendakwaan

Timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun berkata perkara itu didedahkan oleh saksi pendakwaan sebagaimana yang terdapat dalam lapan pertuduhan rasuah terhadap Zahid

Other News

Terdapat bukti yang mencukupi bagi menunjukkan bahawa Ahmad Zahid Hamidi sememangnya menerima RM21.25 juta daripada beberapa entiti ketika beliau menjadi menteri dalam negeri, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun yang berhujah di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah berkata perkara itu didedahkan oleh saksi pendakwaan sebagaimana yang terdapat dalam lapan pertuduhan rasuah terhadap Zahid.

Beliau berkata mengikut tiga pertuduhan yang dihadapi Zahid, sejumlah RM13.25 juta telah diterima sebagai upah membantu Mastoro Kenny IT Consultant & Services untuk mendapatkan projek tertentu MyEG yang dikaitkan dengan kementerian dalam negeri.

“Bagi lima lagi pertuduhan, terdapat keterangan yang mencukupi bagi membuktikan bahawa tertuduh telah menerima rasuah berjumlah RM8 juta daripada dua syarikat iaitu Datasonic Group Berhad (DGB) (RM6 juta) dan Profound Radiance Sdn Bhd (RM2 juta),” katanya semasa menyangkal hujah pembelaan berhubung kelapan-lapan pertuduhan rasuah yang dihadapi Zahid.

Gan berkata bekas Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad Chew Ben Ben dan Abu Hanifah Noordin, yang merupakan bekas Pengarah Urusan DGB mendakwa bahawa wang RM6 juta itu adalah diberikan sebagai sumbangan politik kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2018.

“Jika benar RM6 juta itu diberikan sebagai sumbangan politik, mengapa ia diberikan kepada tertuduh yang juga adalah menteri dalam negeri yang bertanggungjawab menganugerahkan kerja dalam projek membekalkan cip pasport kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB)?

“Dua cek yang dibayar kepada Tetuan Lewis & Co, sebuah firma guaman, tidak mempunyai kaitan dengan BN. Jika benar wang itu adalah sumbangan politik, cek terbabit sepatutnya dibayar kepada BN dan bukan Tetuan Lewis & Co,” katanya.

Berhubung pertuduhan rasuah berjumlah RM5 juta bagi membina sebuah masjid dan sekolah Tahfiz di Bagan Datuk, Perak, Gan berkata sumbangan itu adalah dalam bentuk 24 cek yang diterima oleh tertuduh adalah sebenarnya upah kerana membantu Mastoro Kenny dan Junaith Asharab Md Shariff mendapat projek MyEG di bawah kementerian dalam negeri.

Beliau berkata Zahid ingin membina sebuah masjid serta sekolah Tahfiz dan meminta saksi penting pendakwaan iaitu Junaith Asharab menyumbang kepada kos pembinaan.

Gan berhujah bahawa tiga elemen yang perlu dibuktikan mengikut Seksyen 16(1)(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ialah tertuduh adalah seorang pegawai sebuah badan awam dan beliau secara rasuah menerima ganjaran untuk dirinya.

“Selain itu, ganjaran diterima sebagai dorongan atau upah untuk melakukan apa sahaja berkaitan sesuatu perkara atau urus niaga, secara benar atau dicadangkan atau mungkin berlaku, di badan awam terbabit.

“Ini bukan perkara biasa. Ia tidak melibatkan orang biasa yang sering berkunjung ke kedai mamak dan menikmati secawan teh tarik atau sepinggan of nasi lemak.

“Kes ini membabitkan bekas menteri dalam negeri yang juga bekas timbalan perdana menteri iaitu orang kedua paling berkuasa di negara ini,” katanya sambil menambah oleh itu, bukti yang dikemuka harus diteliti dan diperhalusi oleh mahkamah.

Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan pertuduhah rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pendakwaan akan menyambung hujahnya esok.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles