- Iklan -
Berita

Belum terima surat permohonan parti politik bertemu Ali Rustam

Hari ini empat Adun kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kompleks Seri Negeri  Gambar: Melaka Hari Ini
Kompleks Seri Negeri Gambar: Melaka Hari Ini

Istana Melaka belum menerima surat daripada mana-mana parti politik untuk mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam berhubung dakwaan kerajaan negeri sedia ada hilang majoriti untuk mentadbir negeri itu.

Setiausaha Khas Yang di-Pertua Negeri Melaka Nur Azmi Ahmad berkata buat masa ini, Ali sedang menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula 30 September lepas kerana menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19.

“Setakat ini tiada surat janji untuk saya persembahkan kepada Ali,” katanya ketika dihubungi Bernama di Melaka hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari sebelum ini dilaporkan sebagai berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri dalam tempoh terdekat bagi menghantar surat memaklumkan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali hilang majoriti.

Hari ini empat Adun kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Mereka ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).