Wednesday, October 27, 2021

SPRM kategorikan rasuah berdasarkan akta biaya dana politik

Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah kini sedang menyiapkan draf akta pembiayaan politik sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah.

Other News

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui Akta Pembiayaan Dana Politik dapat dijadikan panduan kepada agensi itu untuk membezakan antara dana politik dengan sumbangan kepada parti atau ahli politik yang boleh dikategorikan sebagai rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata ketika ini negara tidak mempunyai undang-undang khusus berhubung pembiayaan dana politik namun Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) kini sedang menyiapkan draf undang-undang itu sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

“GIACC sudah siapkan draf undang-undang dana politik baru-baru ini yang saya juga terlibat dalam perbincangan…skop-skop tertentu telah ditetapkan antaranya parti politik perlu melaporkan dan mengisytiharkan sebarang penerimaan dana daripada mana-mana pihak.

“Selain itu, menubuhkan satu regulator atau comptroller untuk mengawal selia dana politik kepada mana-mana pihak dalam parti politik di negara ini,” katanya dalam wawancara khas secara maya baru-baru ini sempena Sambutan Ulang Tahun BPR/SPRM Ke-54 yang disambut semalam.

Azam berkata sudah tiba masanya ahli politik bersetuju dalam melaksanakan undang-undang ini, contohnya dana politik untuk pilihan raya perlu dikawal atau tidak seperti yang berlaku di Amerika Syarikat yang membenarkan pembiayaan dana politk diberikan kepada parti tertentu dengan mengisytiharkan pemberi dana tersebut.

Azam berkata ahli-ahli politik perlu menyokong pelaksanaan akta ini bagi membuktikan mereka bersih dan bebas daripada sebarang perlakuan rasuah atau salah guna kuasa, pada masa yang sama membuktikan kepada rakyat kepimpinan telus dan berintegriti.

Beliau mengakui SPRM sukar untuk membezakan pemberian dana politik dengan rasuah namun apabila menerima laporan berhubung seorang ahli politik menerima dana, SPRM akan menjalankan siasatan dan mengklasifikasikannya sebagai kes rasuah.

Pada Oktober 2019, kerajaan dijangka membentangkan Rang Undang-Undang Pembiayaan Dana Politik pada sesi Parlimen tahun seterusnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Liew Vui Keong menjelaskan, penyediaan rang undang-undang berkenaan akan memfokuskan aspek mengawal selia sumbangan politik dalam usaha kerajaan membentuk ekosistem negara yang bebas rasuah pada masa akan datang.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah, Azam berkata perkara tersebut telah dikemukakan kepada JKMR bagi menjadikan agensi itu lebih bebas.

Azam berkata dua cadangan yang dikemukakan iaitu pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dibuat melalui Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang serta mewujudkan suruhanjaya perkhidmatan tersendiri.

“Apabila kita ada suruhanjaya perkhidmatan sendiri, kita boleh mencorakkan pentadbiran daripada segi pengambilan dan penamatan kakitangan dan pegawai tanpa dibentuk di bawah satu suruhanjaya yang umum seperti sekarang,” katanya.

Ketika ini, urusan pengambilan atau penamatan perkhidmatan kakitangan dan pegawai SPRM di bawah seliaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles