Monday, October 18, 2021

Orang utan Sarawak berdepan ancaman kepupusan  

Renjer hutan ambil langkah tambahan berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan spesies itu daripada jangkitan Covid-19.

Other News

Ketika sarapan pada waktu pagi, biasanya Anuar akan mengambil pisang terlebih dahulu.

Selepas itu, dia akan capai kelapa, mengupas dan memecahkannya sebelum mengorek isinya untuk dimakannya.

Anuar adalah antara 25 orang utan separa liar yang tinggal di Pusat Hidupan Liar Semenggoh di Sarawak.

Kini berusia 23 tahun, ia direhabilitasi di pusat itu sejak lahir dan belajar kemahiran untuk melangsungkan hidup daripada renjer taman.

Walaupun akan datang untuk sesi makan, Anuar juga tahu bagaimana dapatkan makanannya sendiri, ketika sesi makan dia akan menderum untuk menghalau jantan lain supaya menjauhinya.

Orang utan separa liar di Semenggoh Wildlife Reserve, Sarawak mengenali renjer hutan yang mengawasi kawasan huan simpan tersebut.

Orang utan itu memiliki hubungan baik dengan kakitangan hutan simpan tersebut dan mengenali mereka yang biasa menghabiskan waktu dengannya, bahkan ketika memakai pelitup muka.

Renjer Murtadza Othman adalah salah seorang daripada mereka.

Setiap hari, dia memulakan pagi dengan memberi makan orang utan yang sedang lapar.

Murtadza akan mencari dengan memanggil nama mereka satu demi satu.

Orang utan makan sebanyak dua kali sehari, satu pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu petang.

Pada satu ketika dulu, sesi memberi makan orang utan adalah acara yang sangat mengujakan ramai pelancong yang akan berpusu-pusu ke lokasi tersebut untuk menyaksikan haiwan itu.

Malangnya, seperti kebanyakan perniagaan eko pelancongan lain, kawasan hutan simpan tersebut menghadapi situasi buruk akibat pandemik Covid-19.

Walaupun pernah menarik 70,000 pengunjung setiap tahun, kini hanya renjer hutan sahaja yang ada di sana.

Bersama renjer hutan yang lain, Murtadza dan rakannya, Asraff Julaihi Khan mencuba sedaya upaya mereka untuk melakukan yang terbaik bagi melindungi binatang dalam jagaan mereka supaya tidak terkena penyakit, terutamanya jangkitan virus.

“Bahkan sebelum wabak melanda negara, pengunjung tidak diizinkan memberi makan atau mengambil gambar bersama orang utan,” kata Asraff kepada MalaysiaNow.

“Mereka harus menjaga jarak untuk menghindari kemungkinan penularan kerana kami tidak melakukan ujian Covid-19 pada orang utan di sini kerana masih menganggap mereka sebagai hidupan liar.”

Renjer hutan Asraff Julaihi Khan memanggil orang utan yang berada di bawah pemantauan mereka di Semenggoh Wildlife Reserve, Sarawak.

Langkah keselamatan seperti memakai pelitup muka dan sarung tangan juga turut dilaksanakan.

Kesemua langkah itu perlu dilakukan kerana manusia boleh menyebarkan virus ke spesies lain.

Ahli zoologi Faisal Ali Anwarali Khan dari Universiti Malaysia Sarawak berkata hal itu boleh terjadi seperti kejadian di mana sebilangan gorila yang hidup dalam kurungan didapati positif Covid-19.

“Ini membuat orang menyedari pentingnya keselamatan haiwan, misalnya perlu menjaga jarak dengan mereka,” kata Faisal kepada MalaysiaNow.

“Sekiranya zoo tidak menerapkan langkah-langkah ini, ia akan menyebabkan kita berisiko lebih tinggi terkena jangkitan.”

‘Mereka kenal kami’

Bagaimanapun langkah-langkah pencegahan wabak Covid-19 tidak mengasingkan orang utan daripada para renjer walaupun ada langkah-langkah tambahan dijalankan bagi membendung virus tersebut.

“Orang utan mengenali kami dan boleh cam kami, bahkan ketika pertama kali tengok kami pakai pelitup muka,” kata Asraff.

“Tahun lalu semasa lockdown, mereka habiskan lebih banyak masa di hutan. Tetapi ada juga beberapa kali mereka datang, hanya untuk menyapa kami.”

Mamalia yang tinggal di atas pokok itu adalah salah satu daripada beberapa jenis spesies hutan yang bilangannya kini semakin merosot sejak beberapa tahun lalu, orang utan Borneo juga dianggap sebagai haiwan terancam.

Sukar untuk menganggarkan baki bilangan mereka di kawasan liar.

Satu kajian baru-baru ini mengatakan jumlah orang utan yang tinggal di Borneo kurang dari 100,000 pada 2015, dan diramalkan 45,000 lagi akan hilang dalam masa 30 tahun ke depan.

Menyedari ancaman yang dihadapi spesies tersebut, renjer sentiasa berwaspada untuk memastikan keselamatan haiwan yang tinggal di kawasan hutan simpan tersebut terjamin.

Setiap bulan, mereka akan masuk ke hutan, menghabiskan sepanjang malam di sana bagi memantau kawasan hutan daripada pencerobohan pemburu haram.

Ketika sesi makan spesies orang utan akan datang ke Semenggoh Wildlife Reserve, Sarawak, ia adalah acara yang menujakan ketika lokasi eko pelancongan itu dibuka kepada orang ramai sebelum pandemik.

Kadang kala, mereka juga menggunakan dron untuk memantu rondaan di kawasan tersebut.

“Kami juga sedang merancang untuk memasang teknologi perangkap kamera di hutan,” kata Asraff.

“Ini adalah satu perkara yang mesti dilakukan kerana kami harus menyerahkan laporan sama ada pemburu haram masuk ke kawasan hutan. Hutan ini adalah kawasan yang dilindungi. Tiada sesiapa yang dibenarkan masuk tanpa izin.”

Sehubungan ini, perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ekoran Covid-19 juga banyak membantu mereka.

Pelaksanaan PKP itu membolehkan renjer menghabiskan lebih banyak masa di hutan tanpa kehadiran pelancong dan pelawat.

Mereka juga melihat peningkatan sumbangan dan kerja-kerja sukarela yang sangat menggalakkan sejak pandemik bermula.

“Kami menerima banyak permintaan daripada orang ramai untuk menjadi sukarelawan,” kata Asraff.

“Orang ramai juga aktif menyertai program anak angkat kami untuk orang utan di hutan simpan ini.”

Kesemua itu, termasuk sumbangan dana yang menggalakkan bermaksud hutan simpan tersebut dapat terus berjalan sepanjang musim wabak Covid-19.

Bagaimanapun, bahaya masih tetap wujud, kebanyakannya berpunca daripada aktiviti manusia.

Di beberapa buah kampung berhampiran hutan Semenggoh, kerja-kerja penerokaan sedang dilakukan pergerakan lori dapat dilihat aktif  membawa simen.

Gambar satelit Google Earth menunjukkan beberapa pokok hutan berdekatan hutan simpan tersebut sudah ditarah.

Seorang penduduk Kampung Paya Mubit berkata tanah di kawasan itu diperuntukkan untuk pembangunan perumahan.

Namun di kawasan hutan simpan tersebut, orang utan masih selamat – sekurang-kurang buat masa ini.

Di bawah pengawasan renjer yang sentiasa berjaga-jaga, orang utan meneruskan rutin bermain, tidur dan makan tanpa menyedari wujud ancaman yang terus cuba untuk mengganggu habitat mereka.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles