- Iklan -
Berita

Kerajaan lulus penggunaan vaksin Sinovac kepada remaja 12 tahun ke atas

Penggunaan vaksin keluaran Sinovac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi dan yang mempunyai masalah alahan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pelajar sekolah divaksinasi dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang dilancarkan awal minggu ini. Gambar: AP
Pelajar sekolah divaksinasi dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang dilancarkan awal minggu ini. Gambar: AP

Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd dan Pharmaniaga Lifesciences Sdn Bhd kepada golongan remaja berumur 12 tahun dan ke atas.

Dalam sebuah kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata CoronaVac sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

“Ini merupakan vaksin Covid-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan remaja selepas kelulusan sama diberikan kepada vaksin Cominarty, keluaran Pfizer-BioNTech pada bulan Jun 2021,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, PBKD menyarankan agar penggunaan vaksin CoronaVac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi dan yang mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Comirnaty.

“Penilaian bagi penggunaan CoronaVac dalam kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi.”

Noor Hisham berkata kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif,” katanya.