- Iklan -
Berita

Pemimpin komuniti Rohingya maut ditembak di kem pelarian Bangladesh

Mohibullah ditembak di luar pejabatnya di kem Kutupalong di Cox's Bazar

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin komuniti Rohingya Mohibullah dalam sebuah temu bual bersama media di kem pelarian Kutupalong, Ukhia. Gambar: AFP
Pemimpin komuniti Rohingya Mohibullah dalam sebuah temu bual bersama media di kem pelarian Kutupalong, Ukhia. Gambar: AFP

Seorang pemimpin Rohingya terkenal maut akibat ditembak di sebuah kem pelarian di selatan Bangladesh pada Rabu malam.

Ketua Persatuan Keamanan dan Hak Asasi Manusia Arakan Rohingya Mohibullah ditembak di luar pejabatnya di kem Kutupalong di Cox’s Bazar, kata seorang saksi kepada Agensi Anadolu.

“Tujuh atau lapan penyerang menembak Mohibullah di luar pejabatnya kira-kira 8.30 malam (1430GMT).

“Tiga das tembakan mengenai dada Mohibullah. Kami bawa dia ke hospital dan doktor mengesahkan beliau sudah meninggal dunia,” kata saksi kejadian Mohammad Ahsan, seorang pelarian Rohingya.

Bagaimanapun, penembak berjaya melarikan diri.

Seorang lagi saksi yang enggan namanya disiarkan berkata Mohibullah baru-baru ini telah melaporkan kepada polis dan pihak berkuasa lain mengenai ancaman bunuh yang diterimanya.

Mohibullah tokoh popular dalam kalangan lebih 1.1 juta pelarian Rohingya yang tinggal di Bangladesh, yang kebanyakannya melarikan diri daripada kekerasan tentera di Rakhine, Myanmar pada Ogos 2017.

Kumpulan hak asasi antarabangsa mengecam pembunuhan itu dan meminta tindakan segera diambil terhadap pelaku.

“Mohibullah menjadi suara penting bagi masyarakat Rohingya yang telah menderita dan terpaksa menjadi pelarian di Bangladesh,” kata pengarah Human Rights Watch (HRW) Asia Selatan Meenakshi Ganguly.

Beliau berkata insiden pembunuhan itu tidak akan melemahkan perjuangan pelarian Rohingya bagi mendapatkan hak dan perlindungan serta usaha untuk kembali ke Myanmar dengan selamat.

“Pihak berkuasa Bangladesh perlu segera menyiasat pembunuhan Mohibullah dan serangan lain terhadap aktivis Rohingya di kem itu,” kata Ganguly.