Friday, October 22, 2021

Muhyiddin gesa GLC tidak bersaing dengan swasta, melabur dalam bidang berimpak tinggi 

Katanya kerajaan perlu berani memperkasakan peranan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi. 

Other News

Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak seharusnya bersaing dengan sektor swasta dalam negara bagi menggalakkan nilai keusahawanan dalam sektor itu, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin.

Bekas perdana menteri itu berkata, peranan GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu dinilai semula ketika negara memerlukan sektor swasta untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Peranan GLC dan GLIC perlu dinilai semula agar aset-aset kerajaan yang ada dapat dioptimumkan untuk membantu mengukuhkan infrastruktur negara bagi memantapkan proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.

“Mereka seharusnya melabur dalam bidang yang berimpak tinggi termasuk meneroka pasaran baharu dalam dan luar negara,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Sebagai rekod, sumbangan hasil GLC kepada kerajaan adalah dalam bentuk cukai, manakala hasil dividen dibayar kepada pemegang saham.

Antara nama-nama GLC besar termasuklah Maybank, Petronas, Telekom dan CIMB Berhad.

Muhyiddin berkata, kedudukan fiskal negara yang menyaksikan lebih RM500 bilion diperuntukkan dalam pelbagai pakej rangsangan bermakna kerajaan perlu memperkasa peranan sektor swasta melalui usaha kerjasama sektor awam-swasta.

Katanya, tumpuan kerajaan seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuhkan sektor ekonomi yang memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain  menyediakan ekosistem kondusif bagi merancakkan pemulihan ekonomi.

“Ini disebabkan sektor swasta mempunyai lebihan dalam sumber kewangannya manakala kerajaan mempunyai defisit.

“Namun demikian kerajaan mesti memantapkan pengurusan kewangannya dengan memperbaiki sistem kutipan hasil dan menggunakan undang-undang sedia ada untuk menyeragamkan sistem cukai jualan dan perkhidmatan bagi memperbaiki prestasi kutipan hasil cukai,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan perkembangan masa depan Malaysia perlu mengandungi projek utama yang boleh melonjakkan pertumbuhan pengeluaran negara, menyediakan peluang pekerjaan dan pendapatan jangka pendek.

“Saya menyokong pelan kerajaan berhubung pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) ke Johor Bahru, malahan juga ke utara untuk disambung dengan HSR dari Bangkok ke sempadan Malaysia-Thailand dengan pembiayaan swasta yang melibatkan konsortium kewangan dalam negara,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles