Tuesday, October 26, 2021

Miliki PhD, namun hantar makanan: ‘Rider’ kejar impian di jalan raya

Walaupun sering dilihat sekadar penghantar makanan, namun mereka berpandangan pekerjaan itu sebagai batu loncatan untuk perkara yang lebih besar.

Other News

Sekilas pandang, Mohd Akmal Azhar kelihatan seperti penghantar makanan lain ketika dia mencelah kereta dan lori di jalan raya dengan pesanan pelanggan tersimpan selamat dalam beg di belakangnya.

Dia merupakan salah seorang penghantar makanan yang hari-hari mereka dipenuhi dengan mengambil pesanan makanan dari restoran di sekitar kota dan menghantarnya kepada pelanggan.

Penunggang motor untuk khidmat penghantaran makanan atau lebih dikenali sebagai “rider” adalah pemandangan biasa lebih-lebih lagi sejak pandemik Covid-19 melanda di mana ia mencetuskan lonjakan permintaan penghantaran makanan sepanjang pelaksanaan beberapa tempoh perintah kawalan pergerakan yang menyebabkan orang ramai tidak dapat atau enggan keluar dari rumah mereka.

Dengan sekatan Covid-19 mulai dilonggarkan dan kehidupan mula perlahan-lahan kembali seperti biasa, perkhidmatan penghantaran makanan atau turut dikenali sebagai perkhidmatan p-hailing masih mendapat permintaan tinggi terutama di kawasan bandar ekoran kerancakan dan pergerakan yang pantas membuat ramai orang terlalu sibuk untuk mendapatkan makanan dengan cara lain.

Namun mereka hanya dipandang sebagai seorang penghantar barang dan bukannya sebagai individu yang mempunyai harapan dan impian sendiri.

Beberapa penghantar makanan tiba di Panda Mart untuk mengambil barangan yang dipesan oleh pelanggan melalui atas talian di Kuala Lumpur.

Contohnya Akmal, dia memecahkan stereotaip tersebut dengan satu hal yang signifikan: tidak seperti gambaran popular kononnya penghantar makanan adalah orang yang hanya mempunyai pendidikan asas, sebaliknya Akmal memiliki gelaran doktor falsafah dalam teknologi farmaseutikal.

Akmal baru sahaja menyelesaikan empat tahun pengajian PhD, kini katanya dia bergelut untuk memenuhi keperluan keluarga dan perlu menyelesaikan pembiayaan pengajiannya.

“Saya menjalani pengajian doktor falsafah sepenuh masa dengan Universiti Malaysia Pahang di mana mereka menaja pengajian saya selama tiga tahun,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sepanjang tempoh itu, saya lakukan pekerjaan sambilan pada hujung minggu untuk mendapatkan lebih banyak wang belanja. Bagi baki setahun pengajian, saya perlu bayar sendiri pengajian saya.”

Dengan seorang isteri dan lima anak untuk di bawah tanggungannya, Akmal tahu dia perlu mencari pekerjaan sepenuh masa.

Namun seperti ratusan ribu orang di seluruh negara, dia menyedari dirinya juga turut terperangkap dalam kekangan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Tahun lalu, ketika sektor perkhidmatan penghantaran makanan berkembang pesat, mereka minta lebih banyak rider untuk isi kekosongan itu, jadi saya ambil kesempatan yang saya ada ketika itu kerana saya memerlukan wang,” katanya.

Menurutnya, selagi kerja tersebut halal, dia tidak begitu ambil kisah.

Namun, dia tetap memasang impian agar dapat kembali ke dalam bidang akademik dan ijazah PhD itu dapat digunakan.

“Saya mahu menjadi pensyarah,” katanya.

Namun katanya, jika impiannya menjadi pensyarah tidak kesampaian, dia akan cuba masuk ke dalam bidang penyelidikan.

Penghantar makanan Abdullah Mohd Zain bersiap sedia memakai helmet untuk ke lokasi tugasan setelah menerima ‘ping’ dari sistem syarikat itu di Jalan Chow Kit.

Bagi Abdullah Mohd Zain, menjadi rider penghantaran makanan sesuai dengan kehidupannya ketika ini.

Berusia 44 tahun, dia memulakan pekerjaan sebagai penghantar makanan tiga tahun lalu kerana suka menunggang motosikal dan dengan cara ini membolehkannya bekerja secara fleksibel.

“Saya pernah jadi penghantar barang ketika saya masih muda, namun kemudian ekonomi merosot sehingga saya terpaksa mencari pekerjaan lain untuk keluarga saya,” katanya.

“Sekarang saya sudah berusia, tidak banyak yang dapat saya lakukan, dan sukar untuk mencari pekerjaan dengan gaji yang memuaskan.”

Namun walaupun menyukai pekerjaannya ketika ini, dia tidak merancang untuk menjadi penghantar makanan selamanya.

“Saya lakukan ini buat sementara sehingga saya dapat simpan wang yang cukup untuk jalankan perniagaan ‘kambing bakar’ saya sekali lagi,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Apabila kita sudah dapat keluar lagi dan ekonomi jadi lebih stabil, saya rancang untuk tumpu pada perniagaan saya.”

Abdullah, yang tidak asing lagi bagi sebilangan rider di sekitar kawasan KLCC berkata sebilangan besar daripada mereka mempunyai alasan tersendiri mengapa melakukan pekerjaan tersebut.

“Ada yang bekerja sebagai rider sambilan dan ada yang melakukannya sepenuh masa, tetapi kebanyakan melakukannya kerana mereka ingin kumpul wang untuk perusahaan yang dirancang ke depan,” katanya.

Penghantar makanan Mohd Haizad Firdaus bin Hussein bersiap sedia memakai helmet untuk ke lokasi tugasan setelah menerima pesanan dalam talian dari sistem syarikat itu di Jalan Chow Kit.

Begitulah keadaannya bagi Mohd Haizad Firdaus, yang pernah bekerja sebagai tukang masak di restoran Thailand sebelum menjadi eksekutif pemasaran.

Walaupun ketika ini dia adalah penghantar makanan, Haizad tahu apa yang mahu dilakukan dengan hidupnya.

“Saya tidak mahu bekerja dengan orang selama-lamanya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Saya merancang untuk buka restoran saya sendiri.

“Untuk buka restoran tanpa ambil pinjaman atau pinjam wang dari tempat lain, saya perlu kumpul duit terlebih dahulu.

“Sementara itu, saya mahu dapatkan pengalaman dan pengetahuan selain meningkatkan kemahiran komunikasi saya.”

Walaupun pekerjaan menghantar makanan mungkin dilihat lebih rendah dari menjadi eksekutif pemasaran, Haizad berkata terkejut apabila mengetahui dia sebenarnya menjana lebih banyak wang sebagai rider.

“Seorang rider memperoleh gajinya berdasarkan kerja kerasnya,” katanya.

“Semakin keras saya bekerja, semakin banyak saya dapat pendapatan.”

Walaupun begitu, Haizad sudah memiliki susur masa yang jelas untuk melaksanakan impiannya beberapa tahun akan datang.

“Saya tidak akan menjadi rider selama-lamanya. Saya mahu buka restoran sebelum usia 40 tahun.”

Kini berusia 36 tahun, Haizad memiliki baki empat tahun lagi untuk mencapai impiannya, dan tidak berhasrat untuk membazir satu hari pun untuk tujuan itu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles