- Iklan -
Berita

Industri pembinaan dianggar rugi RM42 bilion sejak pandemik melanda

RM18 bilion adalah anggaran kerugian dalam tempoh PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun 2021 sehingga September 2021.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sektor pembinaan projek pembangunan yang dihentikan selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan mencatatkan penurunan kadar pertumbuhan sebanyak 19.4% pada 2020.
Sektor pembinaan projek pembangunan yang dihentikan selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan mencatatkan penurunan kadar pertumbuhan sebanyak 19.4% pada 2020.

Industri pembinaan dianggar mengalami kerugian sebanyak RM42 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lepas sehingga kini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof berkata daripada jumlah itu, RM18 bilion adalah anggaran kerugian dalam tempoh PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun 2021 sehingga September 2021.

“Sementara bakinya RM24 bilion merupakan kerugian daripada pelaksanaan PKP 1.0 pada 2020 yang menjejaskan pelaksanaan kerja pembinaan daripada Mac hingga Julai 2020,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang meminta kerajaan menyatakan sektor pembinaan antara yang terkesan akibat penularan wabak pandemik Covid-19 serta cabaran yang dihadapi dan inisiatif kementerian kerja raya membantu sektor pembinaan dalam mendepani cabaran itu.

Fadillah berkata kesan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP juga menyaksikan sektor pembinaan mencatatkan penurunan kadar pertumbuhan sebanyak 19.4% pada 2020, sementara pada suku pertama 2021, sektor pembinaan terus menurun pada kadar 10.4%.

“Walau bagaimanapun, ia telah meningkat pada kadar 40.3% pada suku kedua 2021,” katanya.

Jelasnya antara cabaran yang dihadapi oleh sektor pembinaan adalah seperti kenaikan kos bahan binaan, kenaikan kos upah pekerja, kos Program Rekalibrasi Tenaga Kerja serta kos pematuhan tatacara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor.

Fadillah berkata KKR bagaimanapun mengambil maklum berkenaan isu kenaikan kos bahan binaan dan telah mengemukakan cadangan untuk mewujudkan semula peruntukan pengiraan klausa perubahan harga (VOP) kepada kementerian kewangan (MOF).

“Kerajaan juga telah bersetuju untuk melonggarkan syarat rekalibrasi khusus untuk pekerja binaan dan telah melaksanakan pemberian Lanjuta Tempoh Masa (EOT) secara automatik selama 60 hari untuk semua projek JKR akibat pelaksanaan PKP,” katanya.

Dalam pada itu Fadillah berkata KKR turut melaksanakan perkongsian kos akibat pematuhan SOP bagi tempoh tertentu serta kos pematuhan SOP bagi projek kerajaan disenaraikan dalam kerja awalan.