- Iklan -
Berita

Kos baik pulih rumah PM lebih RM30 juta kerana banyak kerosakan

Baik pulih babitkan kerja pendawaian elektrik dan kebocoran atap.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Pembinaan kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana siap dibina pada 1999. Gambar: JPM
Pembinaan kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana siap dibina pada 1999. Gambar: JPM

Kediaman rasmi perdana menteri yang dikenali sebagai Kompleks Seri Perdana mengalami banyak kerosakan berikutan usia bangunan itu yang mencecah 22 tahun, kata Menteri Tugas-Tugas Khas Abd Latiff Ahmad.

Katanya, nilai RM38.5 juta yang diperuntukkan kepada kerja pemulihan termasuk kerja-kerja penggantian sistem pendawaian elektrik dan kebocoran atap Kompleks Seri Perdana.

“Projek ini diluluskan pada 19 Mac dan kerja-kerja bermula pada 29 Mac 2021. Ia dijangka siap pada 7 Disember 2021.

“Setakat hari ini (29 September), kerja-kerja baik pulih mencapai 74% kemajuan, berbanding 71% seperti dalam jadual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan jawab lisan oleh Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) di Dewan Rakyat pada 27 September lalu.

Katanya, soalan tersebut dijawab secara bertulis oleh beliau sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bukan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Isu pemulihan kompleks Seri Perdana menjadi tular baru-baru ini selepas kerajaan mendedahkan jumlah RM30 juta diperuntukkan bagi membaikpulih kompleks berkenaan.

Menerusi jawapan bertulis, baik pulih itu bertujuan menjaga imej dalam menyambut tetamu utama negara selain mengambil kira faktor keselamatan.

Kompleks Seri Perdana dibina pada tahun 1997 dan siap sepenuhnya pada tahun 1999.

Pada 2006, kerja-kerja baik pulih dan penggantian alat sistem keselamatan di kompleks itu menelan kos RM20 juta.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.