- Iklan -
Berita

Kompaun RM1.1 juta dibayar Ahmad Maslan adalah pemulangan aset, kata SPRM

Menurut SPRM kompaun yang dibayar tersebut adalah tindakan punitif terhadap ahli Parlimen Pontian tersebut.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata Ahmad sebelum ini minta dibicarakan dan tidak mahu membayar kompaun tersebut namun menarik semula keputusan tersebut hari ini. Gambar: AP
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata Ahmad sebelum ini minta dibicarakan dan tidak mahu membayar kompaun tersebut namun menarik semula keputusan tersebut hari ini. Gambar: AP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkata kompaun yang dibayar oleh Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan adalah satu tindakan punitif terhadapnya, menjelaskan kompaun tersebut adalah satu bentuk pemulangan aset di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

SPRM berkata Ahmad sebelum ini pernah ditawarkan kompaun tersebut pada Oktober 2019 namun memilih untuk dibicarakan di mahkamah pada ketika itu.

“Sehubungan itu, beliau dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)(c) AMLATFPUAA 2001 pada 20 Januari 2020.

“Semasa tempoh perbicaraan berjalan, beliau telah mengemukakan representasi dan bersetuju kembali untuk membayar kompaun tersebut,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut SPRM, tindakan kompaun yang dikenakan terhadap Ahmad merupakan satu tindakan punitif terhadap mana-mana individu yang terlibat dan merupakan satu bentuk pemulangan aset di bawah AMLATFPUAA 2001.”

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan ahli Parlimen Pontian itu di atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak dan memberi kenyataan palsu selepas Ahmad membayar kompaun sebanyak RM1.1 juta semalam.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas timbalan pendakwa raya (TPR) Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad berikutan tertuduh bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta, semalam.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Ahmad, didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua beliau dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen berhubung cek itu.