- Iklan -
Berita

Kes saman Apandi terhadap Dr M, kerajaan gagal selesai melalui mediasi

Menurut peguam Apandi, kerajaan tidak bersetuju untuk menyelesaikan kes itu secara proses mediasi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. Gambar: Bernama
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. Gambar: Bernama

Kes saman Mohamed Apandi Ali terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan akan diteruskan dengan perbicaraan selepas pihak terlibat gagal menyelesaikannya secara baik melalui proses mediasi.

Peguam Abdul Shukor Ahmad yang mewakili Apandi ketika dihubungi pemberita berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa kerajaan tidak bersetuju untuk menyelesaikan kes itu secara proses mediasi.

“Semasa pengurusan kes secara dalam talian hari ini, pesuruhjaya kehakiman Latifah Mohd Tahar menetapkan perbicaraan kes itu pada 18, 20, 21 dan 22 April 2022 dan pengurusan kes selanjutnya pada 5 November ini. Pihak plaintif bercadang untuk mengemukakan lima saksi termasuk Mohamed Apandi,” kata Shukor.

Sementara itu, peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili AGC ketika dihubungi mengesahkan mengenai mediasi itu.

Pada 6 Julai lepas, Shukor memaklumkan bahawa Apandi bersedia untuk menyelesaikan kes samannya itu secara baik menerusi proses mediasi dan telah menyerahkan borang mediasi kepada AGC menerusi e-mel pada 21 Mei.

Dalam pernyataan tuntutan, Apandi yang merupakan hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai peguam negara pada 2015, juga menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama (Dr Mahathir) telah menyalahgunakan kedudukannya dan bahawa defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Apandi memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am dan teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 12 November 2020, kedua-dua defendan itu menegaskan tindakan menamatkan kontrak perkhidmatan Apandi sebagai peguam negara adalah sah serta mengikut peruntukan undang-undang dan tiada penyalahgunaan kuasa oleh Dr Mahathir dalam hal itu.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.