- Iklan -
Berita

Kajian AS dapati kesan sampingan vaksin penggalak sama seperti suntikan kedua

Dos ketiga hanya diberikan kepada mereka yang lemah imuniti tubuh golongan berisiko tinggi dan bukan kepada populasi yang lebih besar di AS.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Setakat ini, dos penggalak di AS hanya menggunakan vaksin mRNA. Gambar: Reuters
Setakat ini, dos penggalak di AS hanya menggunakan vaksin mRNA. Gambar: Reuters

Kesan sampingan dos penggalak vaksin Covid-19 adalah ringan atau sederhana dan ia berlaku dengan kekerapan yang sama dengan penerimaan vaksin kedua kata laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

Dalam laporan yang dikeluarkan CDC semalam, sejumlah 22,191 menerima dos penggalak yang berdaftar dengan sistem pengawasan persekutuan bermula antara 12 Ogos hingga 19 September, iaitu ketika dos berkenaan pertama kali diberikan atas tujuan kecemasan oleh pihak berkuasa AS.

Dos ketiga itu juga hanya diberikan kepada mereka yang lemah imuniti tubuh dan bukan kepada populasi yang lebih besar.

Data kesan sampingan juga turut melaporkan kesan sampingan tersebut hanya dialami penerima sehingga hari ketujuh selepas menerima dos ketiga.

“Kekerapan dan jenis kesan sampingan adalah seperti yang dilihat selepas dos vaksin kedua dan kebanyakannya adalah ringan atau sederhana selain hanya sekejap,” kata Pengarah CDC, Rochelle Walensky dalam taklimat oleh Pasukan Petugas Koronavirus Rumah Putih, semalam.

Kesan sampingan yang sering dilaporkan termasuk sakit di tempat suntikan (71% peserta kajian), keletihan (56%), dan sakit kepala (43%).

Sebanyak 28% penerima melaporkan tidak dapat melakukan aktiviti harian yang terjadi sehari selepas menerima suntikan.

Sekumpulan 21,700 yang menerima vaksin mRNA (Moderna atau Pfizer) untuk ketiga-tiga dos masih dianalisis.

Kesan sampingan yang sama berlaku untuk penerima vaksin Pfizer dan Moderna.

Bagi penerima vaksin tersebut, suntikan pertama menghasilkan kesan sampingan yang lebih rendah berbanding suntikan kedua dan ketiga.

Minggu lalu, agensi kesihatan AS memperluas kebenaran pemberian dos penggalak Pfizer kepada mereka yang berusia lebih dari 65 tahun dan mereka yang berumur 18 hingga 64 dengan komorbiditi dan terdedah kepada virus.

Pihak berkuasa memilih suntikan dos ketiga yang dihasilkan Pfizer-BioNTech serta Moderna bulan lalu apabila data mempamerkan bahawa penerima transplan dan mereka yang kekurangan sistem imum tidak memadai dengan dua suntikan sahaja.

Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) juga meluluskan dos ketiga Pfizer kepada kumpulan yang lebih luas, manakala penerima vaksin Moderna serta Johnson & Johnson juga akan diluluskan FDA tidak lama lagi.

Dalam sistem pengawasan itu, kira-kira 1.8 peratus berkata, mereka mendapatkan rawatan perubatan, manakala 13 orang dimasukkan ke hospital.