- Iklan -
Berita

Zahid tidak telus ketika lanjut kontrak UKSB, kata bekas TKSU KDN

Menurut Suriani, Zahid meluluskan pelanjutan kontrak dalam tempoh yang singkat tanpa membuat penilaian prestasi terhadap UKSB.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi tidak telus dan tidak mengikut tatacara ketika melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bagi projek Visa Luar Negara (VLN).

Bekas timbalan ketua setiausaha (TKSU) kementerian dalam negeri (KDN) Suriani Ahmad berkata Zahid, 68, yang juga menteri dalam negeri ketika itu, meluluskan pelanjutan kontrak tersebut dalam tempoh yang singkat tanpa membuat penilaian prestasi terhadap UKSB.

Beliau berkata penilaian itu penting kerana syarikat terbabit akan membawa imej negara dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan semua proses dilaksana dengan betul.

Ketika disoal timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada permohonan itu tetap diluluskan walaupun tiada penilaian dibuat, Suriani menjawab: “Ya.”

Saksi pendakwaan keempat itu berkata demikian pada hari ketujuh perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 40 pertuduhan rasuah membabitkan sistem VLN.

Wan Shaharuddin: Dalam permohonan ini, adalah UKSB mengikut tatacara?

Suriani: Kalau prosedur kerja, ia mengikut tatacara. Bagaimanapun, dari segi kelulusan ia tidak mengikut tatacara.

Wan Shaharuddin: Walaupun Datuk tidak berpeluang menilaikan prestasi UKSB, kenapa teruskan juga untuk lanjutkan kontrak itu?

Suriani: Kerana arahan daripada Menteri adalah untuk menyambung kontrak. Sebagai penjawat awam, saya akur dengan arahan kerana ketika itu, Ahmad Zahid adalah Timbalan Perdana Menteri.

Suriani juga berkata Ahmad Zahid mengambil tempoh kurang 24 jam untuk meluluskan beberapa permohonan lanjutan kontrak UKSB dengan kerajaan.

Beliau juga berkata surat UKSB bertarikh 17 Oktober 2016 yang memohon kelulusan bagi melanjutkan tempoh kontrak Sistem VLN dan eVisa selama enam tahun telah diluluskan oleh Zahid dan diminitkan pada 18 Oktober 2016.

“Selain itu, surat UKSB bertarikh 15 Mei 2017 kepada Zahid untuk permohonan pelanjutan kontrak One-Stop Centre (OSC) turut diminitkan Zahid ‘laksana lanjutan kontrak’pada 16 Mei 2017,” katanya.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Wan Shaharuddin bahawa tiada keperluan untuk menyegerakan permohonon lanjutan kontrak tersebut.

Katanya permohonan UKSB itu adalah terlalu awal kerana kontrak yang ada mempunyai tempoh tamat yang masih jauh.

Beliau berkata mengikut fasal 2.2.1 Perjanjian Untuk Membekalkan Sistem Bersepadu VLN, syarikat boleh memohon pelanjutan tempoh kontrak tidak kurang daripada enam bulan sebelum tarikh kontrak tamat.

“Tetapi bagi permohonan ini, pihak UKSB telah memohon pelanjutan kontrak terlalu awal iaitu pada bulan Oktober 2016 iaitu sekitar tiga tahun lebih awal daripada tarikh kontrak akan tamat. Oleh itu, pihak KDN tidak mempunyai masa yang mencukupi bagi menilai prestasi UKSB untuk membuat keputusan sama ada kontrak patut dilanjutkan atau tidak,” katanya.

Ketika disoal Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili Zahid, Suriani bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa sistem VLN (kelolaan UKSB) tidak pernah menerima sebarang aduan sehinggalah pentadbiran negara diambil alih oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa Zahid telah menukar keputusan untuk memendekkan tempoh pelanjutan kontrak tersebut iaitu dari enam kepada tiga tahun.

Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu menteri dalam negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung 22 Oktober depan.